HIMPUNAN ANAK MUDA ISTIQAMAH (HIMMAH) : TAHNIAH DEWAN PEMUDA PAS PERAK

Sekalung tahniah dirakamkan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Perak yang telah berjaya mengadakan program Himpunan Anak Muda Istiqamah (HIMMAH) yang bermula pada 25 Mac sehingga ke acara kemuncak pada 27 Mac 2016. Satu gandingan mantap di antara Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Akmal Kamaruddin dan Timbalannya, Ustaz Mohd Hafez Sabri yang juga bertindak sebagai Pengarah HIMMAH untuk kali ini.
 
Batu Kurau yang merupakan lokasi program ini merupakan salah satu dun di dalam Parlimen Larut. Di dalam pilihanraya umum yang lepas, DUN Batu Kurau dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Muhammad Amin Zakaria mengalahkan calon daripada PKR, Mohamad Fadzil Alias dengan majoriti 3,834 undi. Selain Batu Kurau, dua lagi DUN di dalam parlimen ini turut dimenangi oleh Barisan Nasional di mana DUN Selama, calon PAS yang bertanding ialah Ustaz Akmal sendiri yang tewas dengan majoriti hanya 619 undi manakala di DUN Kubu Gajah, BN menang dengan majoriti 1,085 undi. Parlimen Larut sendiri dimenangi oleh calon BN, Hamzah Zainuddin dengan majoriti 5,296 undi.
 
Mendepani pilihanraya umum ke-14 akan datang, PAS Larut hadir dengan barisan kekuatan baru dengan pemilihan Ustaz Akmal Kamaruddin sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan di dalam muktamar sesi pemilihan pada tahun lepas. Bagaimana corak catur langkah PAS di Parlimen Larut ini tentunya merupakan satu perkara yang sedang dirunding dan akan dimuktamadkan di peringkat pusat. Namun kelihatan semangat yang sedang dibugar dengan tema ‘Anak Muda Pilih PAS’ melalui program HIMMAH ini, PAS tidak kekok untuk membuka ‘buah silat’ bagi memastikan kerusi-kerusi yang ditandingi kelak dimenangi dengan majoriti yang selesa.
 
Perak bukanlah negeri yang asing untuk dimenangi oleh PAS. Pada tahun 2008, selepas pilihanraya umum yang menyaksikan Barisan Nasional tewas di negeri ini, ADUN PAS telah dipilih sebagai Menteri Besar sebelum kerajaan negeri dijatuhkan dengan cara yang jijik pada tahun 2009. Hari ini, dimensi politik telah bertukar dengan darjah yang sangat berbeza. PAS hadir sebagai sebuah parti yang bertunjangkan Islam sebagai prinsip menawarkan alternatif yang sangat jelas untuk pengundi Islam (dan tentunya Melayu) yang sedang melihat krisis politik yang sangat serius di dalam parti pemerintah iaitu UMNO.
 
Jika sebelum ini, pengundi Melayu dimomokkan dengan tohmahan kononnya PAS ialah kuda kepada DAP. Hari ini, mana-mana akal waras tidak akan menerima lagi kempen seperti ini. PAS hadir dengan sasaran untuk memenangi kerusi pengundi Melayu Islam sebagai blok terbesar di negara ini bahkan juga sebenarnya di Perak.
 
Cabaran Dewan Pemuda PAS Perak sangat besar. Ia bukan sahaja terkepung di dalam ruang lingkup Larut semata-mata tetapi untuk muncul sebagai pemenang undi anak muda di seluruh negeri Perak. Dari pandangan mata Ustaz Akmal Kamaruddin sebagai Ketua Pemuda PAS Perak dan Timbalannya, Ustaz Mohd Hafez Sabri selaku Pengarah Program, inilah misi berat yang sedang dirangka untuk dicapai.
 
Blok pengundi Melayu wajib diberikan penekanan secara serius. Di Daerah Larut, Matang dan Selama, bancian terakhir penduduk mendapati bahawa jumlah orang Melayu ialah 176,353 orang berbanding Cina (71,649 orang) dan India (32,393). Jumlah pengundi Melayu yang sangat jauh mengatasi Cina dan India ini membuktikan bahawa inilah blok yang paling utama wajib disasarkan kempen dan penerangan. Di dalam undang-undang perniagaan, mana-mana syarikat sekalipun apabila ingin memulakan perniagaan, kajian pertama yang akan dilakukan ialah mengenalpasti golongan manakah yang dijadikan sebagai sasaran produk. Undang-undang politik juga sebenarnya menyaksikan peraturan yang sama sekalipun di dalam nada yang sedikit berbeza.
 
Justeru, laungan ‘Anak Muda Pilih PAS’ tidak harus terhenti di Larut sahaja. Ia wajib menjadi momentum agar terus merebak tersebar ke seluruh negeri Perak. Biar ia terus bergema hingga ke DUN Pangkor. Tiada yang mustahil di dunia ini apatah lagi dalam suasana politik yang tidak menentu. Masyarakat sedang menanti dengan sabar perkembangan menarik di negeri Perak selepas pilihanraya umum ke-14 nanti.
 
Tahniah Dewan Pemuda PAS Negeri Perak!
 
– Penulis merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.
This entry was posted in Foto. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

Why ask?