Isu Projek Tanah Di Gua Musang : Pemimpin UMNO Sila Bertanya Kepada Awang Adek

Saya merujuk kepada beberapa laporan akhbar yang masih lagi memainkan isu berkenaan sekeping tanah seluas tanah 10,526 hektar milik kerajaan negeri Kelantan yang didakwa sebagai habuan kepada pemimpin DAP Perak agar mereka sudi menyerahkan kerusi Menteri Besar Perak kepada PAS selepas pilihanraya umum 2008. Sekalipun penjelasan telah diberikan panjang lebar dalam kenyataan sebelum ini, tetapi kelihatan pemimpin UMNO bersama beberapa NGO pro UMNO masih belum faham atau ‘berpura-pura untuk tidak faham’.

Hari ini, 25 Disember 2012, dilaporkan di dada-dada akhbar desakan NGO Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wira PERKASA dan Pertubuhan Minda Orang Muda (MOM) agar penjelasan dibuat oleh YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. Begitu juga akhbar semalam 24 Disember 2012 di mana Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Haji Mohd Fatmi Haji Che Salleh juga turut mengeluarkan kenyataan yang sama nadanya.

Kenyataan-kenyataan ini seolah-olah ingin menyebut bahawa projek yang dilaksanakan oleh syarikat ini ialah rahsia sehingga ia terdedah dengan laporan blog pisau.net. Dalam hal ini, suka untuk saya nyatakan bahawa projek ini telah dimaklumkan kepada Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia dan satu surat kelulusan telah dihantar kepada pihak Upayapadu Plantation Sdn Bhd pada 12 Oktober 2005 dan ditandatangani sendiri oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia pada masa itu iaitu Datuk Peter Chin Fah Kui.

Manakala surat kedua pula ialah daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah Malaysia  kepada Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia bertarikh 16 Januari 2006 yang turut menyokong permohonan syarikat tersebut bagi tujuan meningkatkan lagi kegiatan ekonomi negeri Kelantan. Surat tersebut ditandatangani olah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah Malaysia pada masa itu iaitu Dato Dr Awang Adek bin Hussin. Salinan surat-surat tersebut saya kepilkan bersama untuk rujukan.

Justeru, saya kira semua pihak di Kelantan terutama pemimpin UMNO dan NGO-NGO boleh bertanya terus kepada Dato Dr Awang Adek berkenaan isu ini. Menyentuh kenyataan Pengerusi OMBAK agar YAB Tuan Guru Menteri Besar mendakwa blogger pisau.net jika benar ia merupakan satu fitnah, saya kira OMBAK boleh bersabar. Mana tau, jika nasib baik, OMBAK pun boleh dimasukkan bersama dalam senarai defendan nanti.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Setiausaha Akhbar,

YAB Menteri Besar Kelantan.

 

Bertarikh : 25 Disember 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Why ask?