Skandal NFC : Kerajaan Perlu Bertanggungjawab

Nov
2011
16

posted by on politik

No comments

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) tertarik untuk memberikan respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti yang tersiar di muka hadapan Berita Harian hari ini 16 November 2011. Di dalam kenyataan tersebut, beliau dilaporkan meminta National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berkaitan projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) yang hangat diperkatakan pada hari ini.

2. DPPNK melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri ini sebagai satu usaha untuk ‘berlepas tangan’ setelah pendedahan yang dibuat ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang menyebut bahawa projek ini berdepan dengan masalah di mana sasaran pengeluaran dikurangkan daripada 60,000 ekor lembu kepada 8,000 ekor lembu.

3. Dalam isu ini, sewajarnya pihak kerajaan bertanggungjawab keseluruhannya kerana syarikat yang terlibat merupakan milik keluarga terdekat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil. Sikap Muhyiddin yang meminta NFC memberikan penjelasan jelas sekali merupakan satu usaha untuk ‘cuci tangan’ dan menafikan hakikat bahawa budaya rasuah dan penyelewengan sudah merupakan satu budaya yang tidak boleh dipisahkan daripada UMNO dan Barisan Nasional. Tidak wujudkah satu persepsi yang kuat bahawa hutang sebanyak RM250 juta yang dianugerahkan kepada NFC itu berasaskan kepada kedudukan istimewa yang dimilki oleh Shahrizat di dalam kerajaan? Tidak sedarkah Muhyiddin bahawa Shahrizat merupakan seorang Menteri yang dipilih sendiri oleh Perdana Menteri untuk menganggotai kabinet sekalipun kalah di dalam pilihanraya umum yang lepas? Apa sahaja skandal yang melibatkan Shahrizat sewajarnya dipikul tanggungjawabnya oleh kerajaan dan bukan hanya meminta penjelasan diberikan oleh NFC semata-mata.

4. DPPNK ingin mengingatkan bahawa skandal NFC ini hanyalah merupakan salah satu kes dari pelbagai kes penyelewengan yang telah berlaku dalam pengurusan kewangan negara. Antaranya skandal PKFZ yang melibatkan RM12 billion, skandal PERWAJA melibatkan RM2.56 billion, skandal Simedarby RM1.6 billion dan pelbagai lagi senarai kerugian yang terpaksa ditanggung akibat salah urus dan penyelewengan oleh kerajaan UMNO / Barisan Nasional. Ini belum mengambil kira ketirisan yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang membentuk jumlah yang dianggarkan mencecah RM28 billion.

5. Justeru, DPPNK menyeru kepada kerajaan Malaysia agar lebih bertanggungjawab dalam isu NFC ini dengan membentangkan kertas putih di Parlimen dan melakukan pendedahan yang lebih telus di samping mengambil tindakan tegas ke atas individu yang terlibat jika terbukti berlakunya penyelewengan. DPPNK yakin banyak lagi fakta yang disembunyikan dari pengetahuan umum yang jika didedahkan akan lebih menjelaskan wajah sebenar UMNO / Barisan Nasional yang begitu buruk di dalam mengurus tadbir kewangan negara.

Sekian.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 16 November 2011

Leave a Reply

Why ask?