Rang Undang-undang Perhimpunan Aman : Tindakan Terdesak UMNO Hadapi Kebangkitan Rakyat

Categorized Under: Foto No Commented

1. Saya menyifatkan tindakan kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 November 2011 yang lalu membentangkan rang undang-undang perhimpunan aman dan diluluskan pada hari ini sebagai satu tindakan yang terdesak dalam menghadapi kebangkitan rakyat yang semakin menolak UMNO dan Barisan Nasional. Tindakan ini sebenarnya merupakan satu tindakan mundur ke belakang yang diambil oleh sebuah negara yang kononnya mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

2. Hakikatnya rang undang-undang yang diluluskan ini lebih teruk dari undang-undang yang sedia ada seperti Syeksen 27 Akta Polis. Di dalam Syeksen 27 Akta Polis, denda untuk peserta perhimpunan adalah RM2,000 jika sabit kesalahan manakala di dalam rang undang-undang yang baru diluluskan ini memperuntukkan denda RM20,000 untuk kesalahan yang sama.

3. Saya ingin mempersoalkan kenapakah kerajaan UMNO / Barisan Nasional terlampau gerun dan bimbang menghadapi perhimpunan aman? Sejak bilakah perhimpunan aman mencetuskan masalah jika tidak diprovokasi oleh pihak berkuasa? Selama ini, sebarang perhimpunan aman tidak pernah mencetuskan huru-hara jika pihak polis memberikan kerjasama yang sewajarnya.

4. Di Kelantan, Pergerakan Pemuda UMNO pernah mengadakan perhimpunan di hadapan Kota Darulnaim untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri dalam isu Ladang Rakyat pada 16 Mei 2011 yang lalu. Saya bersama kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri turut hadir dan menyaksikan bagaimana perhimpunan tersebut berjaya dilaksanakan dan memorandum berjaya diserahkan. Cuma, apabila diajak untuk berdebat dalam isu ini, Pergerakan Pemuda UMNO tidak memberikan respon positif. Dalam hal ini, kepimpinan kerajaan negeri Kelantan bersikap terbuka dan tidak mengambil langkah untuk menghalang perhimpunan ini diadakan.

5. Demikian juga himpunan anti murtad (HIMPUN) yang diadakan beberapa minggu lepas juga menyaksikan kerjasama yang cemerlang oleh pihak berkuasa dan ia dapat dilaksanakan dengan jayanya. Justeru, tidak ada sebarang alasan untuk kerajaan menaruh bimbang terhadap perhimpunan aman yang dijamin haknya oleh Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi negara.

6. Saya yakin, tindakan ini akan lebih menyemarakkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat yang menyedari hak mereka sedang dicabul sedikit demi sedikit. Saya ingin mengingatkan bahawa tidak ada sebarang kuasa yang boleh berlindung dari kebangkitan amarah rakyat. Di Mesir, Tunisia, Libya dan beberapa buah negara Arab yang sedang dilanda oleh kebangkitan rakyat telah menyaksikan jatuhnya kuasa-kuasa diktator apabila rakyat terlampau meluat dengan sikap pemimpin yang berlindung di sebalik tembok kuasa.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

HAJI ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN,

Ketua,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK).

Bertarikh : 3 Muharram 1433H bersamaan 29 November 2011M

Facebook comments:

Leave a Reply