1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) dengan ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan rerjim Zionis Israel menyerang konvoi kapal-kapal aktivis kemanusiaan di perairan antarabangsa dekat Gaza semalam.
2. Konvoi ini dilaporkan membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan, seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Jelas sekali ia bukan merupakan konvoi tentera dan tidak berangkat ke Gaza dengan tujuan ketenteraan.
3. Tindakan rejim zionis Israel ini sekali lagi mengesahkan mereka sebagai kuasa yang zalim dan tidak menghormati sebarang undang-undang antarabangsa.
4. Sehubungan dengan itu, DPPNK mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya untuk bangkit mengecam tindakan Israel ini dan melakukan pelbagai usaha demi memastikan tindakan ketenteraan ini dapat dihentikan.
5. DPPNK bersama-sama suara seluruh masyarakat dunia mahu kerajaan Malaysia bersama-sama OIC dan PBB menyuarakan kecaman terhadap tindakan ini dan membenarkan konvoi ini menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
6. DPPNK juga mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengadakan sidang parlimen khas bagi membincangkan isu ini untuk membuktikan kebersamaan Malaysia bersama rakyat Palestin di Gaza dan penentangan terhadap tindakan Israel ini.
7. Malaysia juga didesak supaya menghentikan serta merta perjanjian dengan syarikat perunding dari Israel, Apco Worldwide sebagai tanda kesungguhan bersama solidariti rakyat Palestin . Adalah amat janggal sekali pada saat seluruh dunia bangkit mengecam dan mengutuk Israel, Malaysia masih lagi selesa menjalinkan hubungan kerjasama dengan syarikat yang didalangi oleh Israel ini.
8. Seluruh rakyat Malaysia juga diajak untuk turun berhimpun secara aman di hadapan Kedutaan Amerika Jumaat ini (4 Jun 2010) bagi menunjukkan keprihatinan kita terhadap rakyat Palestin. Selain itu, semua pihak diseru untuk menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk dalam usaha menghentikan tindakan kegasanan Israel ini.
Sekian.
YB HAJI ABDUL LATIF BIN ABDUL RAHMAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)
Bertarikh : 1 Jun 2010











