Kerugian Pos Malaysia : Angkara Kecuaian Barisan Nasional
2010
1. Saya ingin merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein di Dewan Negara pada 4 Mei 2010 berhubung isu kerugian yang ditanggung oleh Pos Malaysia Berhad. Beliau sewaktu menggulung Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 menyatakan bahawa kerugian yang ditanggung oleh Pos Malaysia Berhad ialah sebanyak RM227 juta dan bukannya RM546 juta. (sumber)
2. Isu kerugian Pos Malaysia sebanyak RM546 juta tercetus berikutan pendedahan bekas ahli parlimen yang juga mantan Pengerusi Pos Malaysia & Services Holdings Bhd, Tan Sri Adam Kadir dalam majalah Malaysian Business bertajuk ‘Is whistle-blowing really serious’. Di dalam artikel berkenaan (sumber), Tan Sri Adam Kadir telah menyentuh secara langsung isu kehilangan wang rakyat berjumlah RM546 juta dalam pelaburan Pos Malaysia.
3. Menurutnya, tindakan Khazanah Nasional yang mempengaruhi Pos Malaysia untuk melambatkan penjualan sahamnya dalam syarikat pengendali kargo yang bermasalah, Transmile Group Bhd telah menyebabkan negara rugi bila mana sahamnya jatuh kepada harga 35 sen seunit dengan nilai keseluruhan hanya RM14 juta pada 26 Februari 2010.
4. Kerajaan seharusnya bertangungjawab di atas kerugian yang dilaporkan. Pos Malaysia sebagai sebuah syarikat milik kerajan (GLC) seharusnya diurus dengan berhemat agar dapat memberikan pulangan keuntungan kepada kerajaan dan rakyat. Bagaimanpun sikap kepimpinan negara dan pengurusan Pos Malaysia yang cuai mengakibatkan kerugian yang besar ini terpaksa ditangung oleh rakyat.
5. Menurut laman web rasmi Transmile Group Bhd, pembelian tersebut dilakukan pada tahun 2004 iaitu sebanyak 40 juta unit saham dengan harga RM6.25 seunit sehingga melibatkan peruntukan sebanyak RM250 juta (sumber). Pada hari ini, nilai saham Transmile Group Bhd hanya berharga 13 sen seunit dengan jumlah pegangan keseluruhan Pos Malaysia hanyalah RM14 juta.
6. Jika kerajaan sedikit prihatin dengan natijah kerugian yang akan ditanggung oleh Pos Malaysia, boleh sahaja saham Transmile Group ketika harganya berada di paras RM14.40 pada 3 Januari 2007 (sumber) yang akan mendatangkan hasil sebanyak RM576 juta. Atau setidak-tidaknya pada 14 Jun 2007 ketika sahamnya kembali menjunam kepada harga RM6.60 (sumber) atau sekurang-kurangnya 5 Jun 2009 ketika harganya RM1.24 (sumber). Pada hari ini akibat kecuaian pengurusan Pos Malaysia melepaskan pegangan menyebabkan syarikat milik kerajaan itu terpaksa mendukung biawak hidup dengan harga hanya 13 sen seunit!
7. Kesilapan percaturan di pihak kerajaan dan Pos Malaysia yang akhirnya menghasilkan pengakuan oleh Datuk Dr Awang Adek sendiri ini tidak boleh dipandang ringan. Kalaupun jumlah RM227 juta itu diterima sebagai angka kerugian yang sebenar, ia tetap satu jumlah yang besar. Atau ada sesuatu yang istimewa di sebalik Transmile Group yang turut dimiliki oleh seorang jutawan gula itu?
8. Jika angka sekadar RM4 juta yang dihebohkan oleh blogger yang belum tentu kesahihannya dijaja berminggu-minggu oleh akhbar di muka hadapan, angka RM227 juta sewajarnya memakan masa bertahun-tahun untuk diulang cetak oleh akhbar. Atau setidak-tidaknya, professor-profesor di universiti yang mendesak agar angka RM4 juta diberikan penjelasan maka angka RM227 juta jauh lebih layak untuk diberikan penjelasan! Barangkali, angka RM20 juta wang ehsan untuk UMNO Kelantan sebahagiannya diambil daripada angka ini?
9. Lantas, masih ada harapan agar pemimpin UMNO/Barisan Nasional mengurus dengan cermat harta rakyat?
Salam hormat.
AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
Bertarikh : 5 Mei 2010M / 21 Jamadil Awwal 1431H











