JUDI : DPPNK CABAR PEMUDA UMNO KELANTAN NYATAKAN SIKAP
.
1. Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) ingin menarik perhatian Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan terhadap kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein di Dewan Negara baru-baru ini bahawa kerajaan sedia mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sukan sempena Piala Dunia 2010. Kenyataan beliau yang juga pimpinan UMNO Kelantan tersebut disiarkan oleh hampir kesemua media cetak di negara ini.
2. Sehubungan dengan itu, DPPNK mencabar Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan untuk menyatakan sikap terhadap kenyataan pimpinannya sendiri. Ini kerana sehingga hari ini tidak kedengaran sebarang kenyataan daripada Pemuda UMNO Kelantan berhubungan isu tersebut.
3. Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan tersebut sebenarnya boleh menjurus kepada menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT yang merupakan salah satu perkara yang boleh membatalkan akidah.
4. DPPNK ingin menarik perhatian Pemuda UMNO terhadap maksud firman Allah SWT di dalam al-Quran : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. – Surah al-Maidah, ayat 90. Adakah pimpinan Pemuda UMNO Kelantan sudah kabur hingga tidak berupaya memandang isu yang sepenting ini?
5. Cabaran ini berikutan desakan Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan terhadap Dato Husam Musa, Exco Kerajaan Negeri Kelantan supaya menjelaskan secara terperinci sumber kewangan yang diperoleh bagi membiayai pengurusan dan aktiviti Global Media Channel Sdn. Bhd. (GMC). Kenyataan yang dikeluarkan melalui ketuanya, Anuar Safian tersebut telah disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia, 11 Mei 2010.
6. DPPNK ingin melahirkan kehairanan dengan sikap Pemuda UMNO yang nampak begitu ghairah dengan isu ini namun diam membisu dengan isu judi yang jauh lebih penting sehingga boleh mengakibatkan kesan terhadap akidah.
7. Pemuda UMNO juga membisu dalam isu royalti minyak yang menzalimi rakyat Kelantan. Adakah Pemuda UMNO berpuas hati dengan bayaran RM20 juta wang royalti berbanding 2 billion yang sepatutnya diterima oleh rakyat Kelantan?
Di manakah pula Pemuda UMNO Kelantan pada saat Malaysia dilaporkan hilang hak ke atas sebahagian perairan negara di Sarawak yang mengakibatkan kerugian lebih 300 billion?
8. DPPNK ingin menyatakan kepada Pemuda UMNO Kelantan bahawa PAS tidak seperti UMNO yang bergerak di atas dasar wang dan komisyen. Tanpa habuan berbentuk wang ringgit, jentera UMNO di peringkat mana sekalipun tidak akan bergerak.
9. Di dalam mana-mana pilihanraya kecil sekalipun, UMNO seringkali mengumpan dengan janji pembangunan dan menghulurkan wang ringgit kerana itulah dia kekuatan UMNO yang hanya tegak di atas pengaruh media dan kuasa politik wang. Berbeza dengan PAS yang mempunyai senarai ribuan penderma dari seluruh dunia. Sumber kewangan PAS ialah dari poket ahli-ahlinya. Aset PAS yang ada pada hari ini hasil dari pengorbanan ahli dan penyokong PAS yang bertebaran di seluruh dunia.
10. PAS juga tidak pernah menghalang sebarang siasatan dibuat oleh pihak berkuasa jika berlaku penyelewengan namun dalam masa yang sama isu-isu penyelewengan yang melibatkan pemimpin UMNO/BN juga perlu diambil tindakan yang sama.
11. Jika beginilah sikap Pemuda UMNO Kelantan yang akan mewarisi kepimpinan UMNO yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke 64, UMNO nampaknya akan ditolak oleh umat Islam khususnya dan juga seluruh rakyat Malaysia tidak lama lagi.
Sekian, wassalam.
YB HAJI ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN,
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
Bertarikh : 12 Mei 2010 / 28 Jamadil Awal 1431

