Tarbiah Pemuda di Indonesia : Satu Muhasabah Buat Gerakan Islam di Malaysia

Apr
2010
03

posted by on Peribadi

No comments

blog4

bergambar di hadapan Dar at-Tauhid, Bandung.

Saya menulis entri ini ketika menunggu penerbangan dari Jakarta – KLIA. Kelewatan kapal terbang MAS selama satu jam memberikan peluang untuk zikir dan fikir. Zikir untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, fikir untuk bermuhasabah mencari jalan ke arahNya.


Di perjalanan, kami singgah di Toko Buku Wali Songo, khabarnya terkenal dengan buku-buku yang murah. Diletakkan di muka pintu buku terbaru tulisan Habiburrahman al-Syirazy, Bumi Cinta. Saya doakan agar beliau bisa menjadi pengarang hebat dan novel-novelnya menembusi pasaran dunia. Jika mereka punya Harry Potter, sekurang-kuranya jika Ketika Cinta Bertasbih menembusi pasaran dunia, bolehlah kita menumpang bangga.


Apa yang saya mahu bicarakan ialah bagaimana di kedai-kedai buku agama seperti ini, pelanggannya terdiri daripada anak-anak muda. Membelek buku-buku agama, mencari kitab-kitab rujukan dan sebagainya, nampaknya anak-anak muda ini tidak kekok dan canggung. Toko ini letaknya di tengah-tengah kota Jakarta, bukan di kawasan kampus pengajian. Anak-anak muda di Indonesia sedang bangkit dengan kesedaran.


Dua malam saya menginap di Darut Tauhid, Bandung. Baru semalam saya mendengar khutbah jumaat yang disampaikan di Masjid al-Tauhid, sungguh sedar dengan tazkirah dan motivasi berselitkan nas al-Quran dan Hadis. Dibekalkan dengan skrin televisyen di setiap ruang solat, kiri dan kanan saya terdiri daripada anak-anak muda khusyuk mendengar lontaran idea dan motivasi. Sayang sekali, di Malaysia tidak kelihatan suasana seperti ini. Khutbah disampaikan tidak bermaya, anak-anak muda sibuk bermain di belakang. Masakan tidak, jika khutbah disampaikan tanpa teks, bimbang nanti ada surat yang tiba. Ada imam lebih bimbang jika menerima notis dari pihak atasan, namun sedikitpun tidak bimbang jika menerima arahan dari ’pihak yang paling atas’.


Malam tadi, ketika embun sudah mula menitik. Saya melintasi Masjid at-Tauhid sekali lagi untuk membeli sedikit keperluan. Suasananya hening, tapi sepatunya banyak kelihatan teratur di luar masjid. Sedikitpun tidak kedengaran suara. Subhanallah, di dalam masjid rupa-rupanya dipenuhi oleh anak-anak muda. Sedang bermunajat rupanya. Masing-masing menundukkan kepala menadahkan tangan. Majlis zikir munajat dipimpin oleh seorang kiyai cukup-cukup menginsafkan saya betapa kita di Malaysia sudah jauh ketinggalan. Dari mana datangnya anak-anak muda yang memenuhi masjid ini? Ada yang menginap di Dar at-Tauhid, dan tidak kurang juga yang datang dari sekitar.


Saya belajar banyak perkara di sini. Mereka mendahului kita di dalam membentuk anak-anak muda. Pemandu kami, Bapak Zainal seorang aktivis PKS memberitahu bagaimana proses perkaderan PKS bermula dengan sistem persekolahan di peringkat tadika, sekolah rendah dan seterusnya sekolah menengah. Remaja-remaja ini akhirnya muncul sebagai pimpinan masjid di lokasi masing-masing. Hinggalah hari ini, di mana-mana kita akan berjumpa aktivis PKS atau sekurang-kurangnya menjadi seorang simpatis.


Kita di Malaysia nampaknya agak ketinggalan di dalam persoalan ini. Polemik yang berlaku seputar gerakan Islam merencatkan agenda tarbiah.     Kita sedang asyik berbicara tentang perebutan jawatan dan habuan, akhirnya kita biarkan anak-anak muda pelapis perjuangan tanpa asuhan dan tarbiah. Saya biasa menerima emel dan sms, anak-anak muda yang baru bergraduat, ingin menabur bakti dan khidmat, tetapi tidak mampu mencari ruang dan peluang. Mereka sebenarnya gagal untuk kita mannfaatkan!


Saya menulis ini, untuk diri saya sendiri sebagai seorang pemimpin kecil dalam sebuah gerakan yang besar. Saya tidak memegang jawatan sebagai nakhoda, tetapi saya juga bukan merupakan seorang penumpang sahaja. Saya dan anda mungkin seorang anak kapal yang sedang menerima arahan dari nakhoda. Saya sungguh yakin, ada sesuatu yang mampu kita sumbangkan di dalam menyelamatkan bahtera kita!


-Ahmad Fadhli bin Shaari

Lapangan Terbang Sukarno Hatta, Jakarta.

1.40pm / 3 April  2010

Leave a Reply

Why ask?