Lawatan Kerja Ahli-ahli Lembaga Pengarah PASTI dan Majlis Guru PASTI Kelantan ke Jakarta – Bandung, Indonesia

Categorized Under: Peribadi No Commented

Lawatan disertai oleh pimpinan Majlis Guru PASTI (MGP) Kelantan. Turut bersama mengiringi ialah Pengarah PASTI Kelantan, YB Ustaz Abdul Latiff b Abdul Rahman serta pimpinan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PASTI Kelantan.

Kami tiba di Jakarta kira-kira jam 3.15 petang (4.15 petang di Malaysia) pada 30 Mac 2010. Menjejakkan kaki di Lapangan Terbang SukarnoHatta menyaksikan negara Indonesia sedang membangun dari belenggu kemiskinan. Perjalanan dari lapangan terbang ke satu daerah yang disebut sebagai Depot, memakan masa lebih kurang 3 jam ditambah dengan kesesakan lalulintas yang boleh disifatkan sebagai luar biasa.

blog1

YB Ustaz Latif mengimamkan solat setiba sahaja di Lapangan Terbang Sukarno Hatta

Kiri kanan jalan dipenuhi dengan perumahan setinggan di celah-celah kemunculan bangunan-bangunan yang tinggi. Menurut pemandu kami, bapak Zainal, seorang aktivis NGO yang bernaung di bawah Partai Keadilan Sejahtera (PKS), penduduk Jakarta jumlahnya lebih 13 juta orang. Kesemuanya bersaing di tengah-tengah hiruk pikuk kota mencari sesuap nasi meneruskan hidup.

Dari kesesakan lalulintas yang me’macet’kan perjalanan, kami tiba di sebuah restoran yang bercirikan Islam, Pondok Laras. Dengan bercirikan suasana pesantren, wakaf-wakaf didirikan di tengah-tengah landskap yang menawan. Kegelapan malam menghalang kami dari menikmati pemandangan sebenar Pondok Laras. Bagaimanapun, konsep yang diperkenalkan oleh pengusahanya cukup-cukup mengkagumkan. Khabarnya, pemiliknya merupakan seorang aktivis PKS.

Kami tiba ketika restoran sudah ditutup. Namun, kami tetap dialu-alukan memandangkan tempahan sudah dibuat. Para pekerja restoran yang kesemuanya berkopiah bagi lelaki dan bertudung bagi perempuan sedang berada di masjid di tengah-tengah restoran mendengar kuliah agama. Saya masih terngiang-ngiang pengajaran yang disampaikan ialah tafsrian surah al-Syams . Persis barangkali suasana yang digambar di dalam filem Ketika Cinta Bertasbih II tatkala Khairul Azam memperdengarkan kebolehannya menghuraikan Hikam Ibnu Atoillah!

BLOG2

para pekerja Pondok Laras sedang asyik mendengar kuliah agama


Usai menyantap makan malam bermenukan masakan sunda, kami bertolak ke tempat penginapan, sebuah hotel di pinggir kota Jakarta, Hotel Genggong Villa. Walaupun agak ketinggalan dari sudut kemudahan dan prasarana, cukuplah untuk membuatkan tubuh yang letih selepas 24 jam berada di dalam perjalanan dari Kelantan – Kuala Lumpur – Jakarta lena selena-lenanya.


Hari kedua, 31 Mac 2010

Selesai sarapan dan proses check out, lokasi pertama yang kami lawati ialah Tadika (di sini disebut sebagai Teka) IT Nurul Fikri. IT bukannya singkatan dari Information Technology tetapi Islam Terpadu. Teka IT Nurul Fikri merupakan sebuah pusat persekolahan untuk anak-anak prasekolah yang bernanung di bawah Yayasan al-Fikri. Menurut taklimat yang disampaikan oleh ’ibu-ibu’ yang bertugas di sini, terdapat beberapa buah lagi pusat asuhan dan pengajian yang dimiliki oleh Yayasan al-Fikri di seluruh Indonesia. Bayaran bulanan bagi setiap anak-anak yang belajar di sini ialah sebanyak 480,000 rupiah (kira-kira RM180). Guru-guru yang diambil bertugas di sini pula paling minima harus memiliki kelayakan S1 (ijazah Sarjana Muda). Dengan bilangan pelajar kira-kira 200 orang, banyak perkara yang harus dipelajari PASTI daripada Teka IT Nurul Fikri ini. Antaranya yang paling ketara ialah sistem atur susun kelas yang menarik, kandungan kurikulum yang kreatif dan juga guru-guru yang nampaknya lebih idealis. Faktor usia muda dengan pemikiran yang masih segar rasanya banyak membantu kelancaran perjalanan pentadbiran sekolah.

bergambar di halaman TK IT Nurul Fikri

Lokasi kedua ialah Islamic Girl Boarding School Darul Marhamah yang terletak di Bogor, Jawa Barat. Sekolah perempuan yang berusia 18 tahun ini asalnya merupakan sebuah pesantren, lalu ditukar namanya menjadi Islamic Boarding School. Pemiliknya, Ummu Faridah, seorang muslimah merupakan aktivis Yayasan al-Irsyad. Sekolah yang seratus-peratus didirikan di atas daya usaha beliau ini tidak menerima apa-apa bantuan tetap dari kerajaan. Kini pelajarnya berjumlah kira-kira 400 orang dengan bayaran bulanan termasuk makan minum dan penginapan sebanyak 1 juta rupiah (RM390) dan bayaran pendaftaran sebanyak 8 juta rupiah. Barangkali, sekolah ini boleh dianggap antara sekolah elit di Bogor memandangkan kemudahannya yang moden dan terkini serta kelengkapan makmal yang canggih mengatasi kebanyakan sekolah agama di Kelantan. Terima kasih kepada pihak sekolah yang sudi menyambut kedatangan kami dengan begitu hangat sekali.

pelajar-pelajar di Darul Marhamah sedang berada di dalam makmal komputer

Kami bergerak seterusnya ke Garut di dalam perjalanan hampir 8 jam di atas bas. Jalan yang melingkari kawasan pergunungan persis seperti Cameron Hingland bisa membuatkan sebahagian kami mual dan pening. Garut terkenal dengan industri pembuatan bahan-bahan daripada kulit haiwan. Barangan seperti beg, tali pinggang, jaket dan sebagainya yang berasaskan kulit boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah berbanding tempat lain. Kami menginap di sebuah kampung yang dikenali sebagai Cipanas atau Air Panas. Ternyata, bisnes membuka resort merupakan bisnes paling utama penduduk-penduduk di kampung ini. Lebih canggih apabila air panas dan air sejuk dialirkan langsung dari kawasan pergunungan. Kolam mandi disediakan di dalam bilik, namun bantal dan tilam lebih menyelerakan…. 

alam semulajadi di Garut


Facebook comments:

Leave a Reply