Teks Ucapan YAB Menteri Besar Kelantan di Majlis Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia (06 Mac 2010)

TEKS DIBACAKAN OLEH YB DATO’ AHMAD YAACOB, TIMBALAN MENTERI BESAR KELANTAN

Tarikh : 6 Mac 2010

Bertempat di : KB Mall, Kota Bharu, Kelantan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“7         Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);

8          Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa;

9          Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),

10        Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”

Terima kasih saudara pengerusi majlis

YB Hajjah Wan Ubaidah Omar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan

Encik Fareen Ali, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Buah Pinggang Malaysia,

Dr. Mohd. Kamil bin Hassan, Pengarah Jabatan Kesihatan (JKN) Negeri Kelantan

Dr. Hj. Ghazali Hasni bin Hj. Md Hassan, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ-II)

Datuk Chef Wan, Duta National Kidney Foundation of Malaysia (NKF) dan Chef Selebriti NKF Ambassador and Celebrity Chef

Kakitangan Yayasan Buang Pinggang, NKF Jabatan Kesihatan Negeri  (JKN) Kelantan, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital HUSM Kubang Kerian,

wakil-wakil media,

Puan-puan dan Tuan-tuan yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama bersyukur kepada Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk berada di majlis ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Buang Pinggang Malaysia (NKF) dan Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN, Malaysian Society of Nephrology) kerana menjemput dan memberi peluang kepada saya untuk melancarkan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia (WKD-World Kidney Day) di sini, di KB Mall pada hari ini dan pada masa yang sama, ucapan jutaan terima kasih di atas komitment Yayasan NKF dalam memberi sumbangan pendidikan kesihatan berterusan kepada masyarakat awam di samping sebagai penyedia tempat perawatan dialisis NGO yang terulung di Malaysia pada masa kini.

Hadirin dan hadirat, tuan puan yang dihormati sekalian.

Hari Buah Pinggang Sedunia (WKD World Kidney Day) seperti yang telah kita maklum disambut di seluruh dunia merentasi benua pada 11 Mac 2010 dan lebih dari 100 negara merayakan peristiwa ini.  Tema tahun ini iaitu– “Lindungi Buah Pinggang / Ginjal anda; kawal Diabetes, “Protect Your Kidneys ; Control Diabetes” adalah seruan kepada sesiapa yang masih tidak menyedari akan fungsi ginjal / buah pinggang dan hubungkait di antara buah pinggang / ginjal dan penyakit Diabetes.

Hari ini, dari segi penyakit, ancaman kepada kehidupan manusia tidak lagi datang dari penyakit-penyakit berjangkit seperti Tiphoid (demam kepialu) dan malaria (demam kura) sahaja, tetapi ancaman serius juga datang dari penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti diabetes (kencing manis) dan hipertensi (Darah Tinggi) yang kesemuanya berpunca dari gaya hidup dan corak pemakanan yang tidak sihat.

Di dalam hal ini, Islam sangat-sangat mementingkan penjagaan kesihatan terhadap. Bahkan di antara doa yang sering diajar oleh Rasulullah SAW ialah : Ya Allah, aku memohon kepadaMu kemaafan dari dosa dan kesejahteraan pada agamaku, urusan duniaku, ahli keluargaku dan hartaku.

Di dalam doa ini, Rasulullah SAW mengajar kita bahawa doa kepada Allah SWT tidaklah hanya di dalam urusan akhirat bahkan juga turut dituntut kita untuk memohon untuk kesejahteraan dunia. Di antara kesejahteraan dunia yang seringkali disebut ialah kesihatan tubuh badan. Untuk itu, kita dituntut  untuk memilih cara hidup sihat seperti bersenam dan corak pemakanan yang baik serta terurus.  Sayangnya, penduduk Malaysia khususnya lebih suka memilih makanan segera di kedai. Di samping lebih gemar memakan makanan bergoreng dan berminyak menggantikan makanan masakan di rumah.  Ditambah pula dengan kurang aktiviti senaman fizikal, telah melahirkan generasi orang dewasa dan juga kanak-kanak yang gemuk/obes (obes / obesity).  Golongan inilah yang berpotensi besar mengalami masalah-masalah kesihatan yang berpunca daripada obesiti.  Dengan meningkatnya kes-kes obesiti, penyakit seperti diabietes (kencing manis) dan hiopertensi (darah tinggi akan bertambah dalam masyarakat.)  Ini adalah panyakit abad ke 21, natijah kepada lambakan makanan yang ada di sekeliling kita dan tidak cukup aktiviti senaman fizikal.


Justru itu, tidak hairanlah penyakit diabetes ini datang.  Negara telah dicemaskan dengan kadar peningkatan penyakit diabetes yang ketara. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2009 dan 2006, lebih kurang 1.4 juta individu di Malaysia dikenal pasti sebagai pesakit diabetes. Kadar ini meningkat satu kali ganda dalam tempoh satu dekad.

Di dalam Islam, penjagaan kesihatan merupakan satu perkara yang sangat dituntut. Syariah Islam tidak datang melainkan dengan tujuan untuk menjaga lima perkara iaitu menjaga agama, jiwa, akal, harta dan keturunan. Termasuk di dalam soal menjaga jiwa ialah menjaga kesihatan kerana hakikatnya jiwa manusia tidak akan sejahtera tanpa kesihatan yang baik. Bahkan di dalam Islam, seorang individu yang kuat dan sihat lebih disukai oleh Allah SWT berbanding dengan seorang individu yang lemah dan berpenyakit.

Oleh yang demikian, di dalam menjaga kesihatan, hendaklah dipatuhi nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak yang berkelayakan dari masa ke semasa. Nasihat-nasihat yang diberikan oleh doktor misalnya hendaklah diberikan perhatian di dalam menjaga tubuh badan dari ditimpa penyakit.  Selain itu, Islam juga menitikberatkan persoalan penjagaan emosi dan ruh. Jika doktor dianggap sebagai pihak yang berkelayakan di dalam menasihati individu di dalam soal menjaga kesihatan jasmani, maka  di dalam menjaga rohani, Rasulullah SAW merupakan doktor yang terbaik. Sebagaimana menjaga kesihatan jasmani ini penting, demikian juga menjaga kesihatan rohani juga turut penting. Betapa banyak kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat berpunca dari kegagalan menjaga rohani, jiwa dan emosi. Sekalipun mempunyai tubuh badan yang sihat, rohani yang tidak terjaga akhirnya melahirkan individu manusia yang bermasalah.

Oleh yang demikian, di dalam ayat yang telah saya bacakan di awal ucapan tadi telah ditegaskan bahawa kemenangan dan keuntungan hanya diperolehi oleh seseorang yang menjaga dan menyucikan jiwa dan emosinya.

Hadirin dan hadirat, tuan puan yang dihormati sekalian.

Akhirnya, saya berharap agar aktiviti-aktivit seumpama ini diteruskan dari masa ke semasa. Roadshow WKD ini, di Pantai Timur, tentunya akan menyediakan peluang, kepada mereka yang kurang upaya dan tidak mampu untuk di saring pengesanan penyakit diabetes, masalah ginjal / buah pinggang, hipertensi dan ini menjadi kayu pengukur kepada tahap kesihatan masing-masing.

Saya juga suka mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan, badan-badan NGO, semua ahli masyarakat yang mengorbankan masa dan tenaga mereka dalam menjayakan sambutan WKD ini berjaya, dan juga kepaa sesiapa sahaja yang menyumbang dengan apa cara sekalipun untuk menjayakan program ini.

Kita harap diakhir program WKD ini dan program Roadshow, rakyat Malaysia telah dapat dibekalkan sedikit sebanyak dengan pengetahuan dan panduan menjaga kesihatan diri dan ahli keluarga serta menghargai peranan yang dimainkan oleh ginjal/buah pinggang yakni salah satu organ anugerah tuhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Why ask?