TEKS UCAPAN YAB MENTERI BESAR KELANTAN DI MAJLIS PERASMIAN PENUTUP DAN PENYAMPAIAN HADIAH MENGHAFAZ AL-QURAN PERINGKAT NEGERI KELANTAN TAHUN 1431H / 2010M

Categorized Under: Teks Ucapan No Commented

PADA : 24 RABIUL AWWAL 1431H / 10 MAC 2010M

BERTEMPAT DI DEWAN BESAR BALAI ISLAM,

KOMPLEKS ISLAM DARULNAIM, KOTA BHARU, KELANTAN

Assalamualaikum warahmatullah.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang (dengan khusyuk).(Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang dinyatakan) ini ada (disebutkan) di dalam Kitab-kitab yang terdahulu.Iaitu Kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.

Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan keizinanNya, Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan bagi tahun 1431H/2010M  telah berjaya diadakan dan sekarang sudah tiba ke penghujungnya. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur khususnya kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan dan amanat pada majlis perasmian penutup ini.

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.

Menghafaz al-Quran merupakan satu perkara baru dalam masyarakat umat Islam khususnya di Malaysia. Semenjak beratus tahun Islam bertapak di Tanah Melayu khususnya di kalangan orang-orang Melayu, kita hanya berpada dengan membaca al-Quran dengan bertajwid dan berlagu. Bacaan bertajwid diajar kepada kita dan anak-anak kita semenjak kecil dan hasilnya kita melihat bagaimana lahirnya tokoh-tokoh di kalangan orang-orang Melayu Islam khasnya di Kelantan yang mempunyai kemahiran dengan hukum-hakam tajwid al-Quran. Di samping membaca dengan bertajwid, orang-orang Melayu Kelantan juga terkenal dengan kemahiran bertarannum. Pelbagai kaedah lagu diajar dan disebarkan ke dalam masyarakat, ini merupakan salah satu perkara yang boleh kita banggakan.


Di Kelantan, kita telah berjaya mengirim ke luar Kelantan guru-guru untuk mengajar al-Quran di merata-rata tempat. Antaranya ialah sekitar tahun 60-an, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri yang pertama sendiri pernah menjemput almarhum Dato’ Haji Muhammad Noor bin Haji Ibrahim, bekas mufti Kelantan untuk bekerja di Pusat Islam. Tugas allahyarham ialah mengajar al-Quran dan menghasilkan terjemahan al-Quran. Hasilnya, lahirlah Terjemahan al-Quran pimpinan al-Rahman dengan kerjasama Sheikh Abdullah Basmeih. Ini menunjukkan bagaimana Kelantan telah menjadi bumi yang suburnya tradisi pengajian dan pengajaran al-Quran di dalam masyarakat.

Hadirin-hadirat yang dirahmati sekalian.

Di antara perkara awal yang kita laksanakan apabila mula-mula mengambil alih Kelantan ialah menubuhkan Maahad Tahfiz al-Quran di Pulai Chondong pada penghujung tahun 1991. Pengajian yang menggabungkan di antara akademik, arab dan hafazan al-Quran di peringkat sekolah menengah adalah merupakan yang pertama seumpanya di negara ini. Ini adalah usaha untuk mengetengahkan usaha menghafaz al-Quran agar umat Islam yakin bahawa tidak ada apa-apa makna hidup di dunia tanpa panduan wahyu al-Quran. Hasilnya, ibubapa berlumba-lumba menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah menghafaz al-Quran. Hari ini di Kelantan, di bawah pentadbiran Yayasan Islam Kelantan, sebanyak 5 buah sekolah maahad tahfiz telah diwujudkan dan 4 lagi aliran tahfiz yang beroperasi di sekolah-sekolah. Dengan bilangan semasa pelajar yang sedang menuntut di maahad tahfiz dan aliran tahfiz seramai kira-kira 1500 orang, Kelantan diharapkan akan muncul sebagai pusat pengeluaran al-huffaz al-kiram al-bararah. Semenjak kewujudan Maahad Tahfiz al-Quran Pulai Chondong, seramai 500 orang produk huffaz telah berjaya dikeluarkan dan sedang berkhidmat di dalam pelbagai bidang di tengah-tengah masyarakat. Ini masih belum termasuk bilangan madrasah-madrasah tahfiz swasta yang berjumlah lebih 30 buah di seluruh negeri Kelantan Darul Naim. Alhamdulillah, kita mengharapkan agar minat masyarakat untuk menghantar anak-anak menghafaz al-Quran berterusan. Sesungguhnya, produk-produk huffaz yang kita lahirkan jauh lebih berharga dari sebarang produk-produk pembangunan yang bersifat lahiriah dan mengenepikan pembangunan rohani.

Selain itu, masyarakat telah nampak berminat dengan pengajian-pengajian tafsir di dalam usaha memahami isi kandungan al-Quran. Kelas-kelas tafsir yang diadakan di masjid-masjid tumbuh merata-rata dengan menggunakan pelbagai jenis kitab yang telah disusun oleh para ulama. Saya mencadangkan agar para huffaz turut sama didedahkan kepada metodologi penafsiran al-Quran untuk memudahkan mereka menyebarkan kefahaman al-Quran apabila berada di tengah-tengah masyarakat kelak. Kita harap agar lahirnya lebih ramai tokoh-tokoh dari negeri Kelantan yang dapat berhujah dengan menggunakan al-Quran di dalam menghadapi serangan dari pihak-pihak luar. Kita sering  mendengar nama-nama seperti almarhum Ahmad Deedat, Harun Yahya dan nama-nama lain di peringkat antarabangsa yang terkenal sebagai tokoh-tokoh yang berhujah dan menulis dengan menggunakan al-Quran.  Insya-allah, kita mengharapkan maahad-maahad tahfiz yang wujud di seluruh negeri kelantan ini dapat berperanan ke arah melahirkan tokoh-tokoh seperti itu.

Hadirin dan hadirat yang dirahmati sekalian.

Kita sedang melalui peringkat yang keempat selepas pembacaan, hafalan dan pemahaman iaitu peringkat pelaksanaan isi kandungan al-Quran. Kelantan sedang berada di peringkat ini. Inilah sebenarnya tuntutan  al-Quran. Ia bukan setakat untuk dibaca dan dihafaz, tetapi lebih jauh dari itu untuk diamalkan. Betapa ramai orang yang membaca al-Quran dan menghafaznya, tetapi dilaknat oleh al-Quran kerana tidak mengamalkannya.

Inilah tujuan kedatangan Rasulullah SAW. Baginda tidak diutuskan hanya untuk mengajar bagaimana membangunkan dunia dengan pembangunan fizikal. Bahkan sewaaktu lahirnya baginda Rasulullah SAW, telah wujud tamadun-tamadun yang hebat di dunia. Berdirinya piramid di Mesir, Iwan Kisra di Parsi,  Tembok Cina dan Taman Tergantung Babylon ialah bukti bagaimana sudah wujudnya pembangunan fizikal pada masa itu. Di tengah-tengah kehebatan tamadun manusia yang sedang berkembang itulah, diutuskan Rasulullah SAW untuk melaksanana proses pembangunan rohani. Jika pembangunan fizikal bertunjangkan kepada bahan binaan seperti batu, besi dan sebagainya, pembangunan rohani pula hanya akan tertegak dengan bahan  binaannya sendiri ialah iman kepada Allah dengan segala sifat kamalatnya serta iman akan adanya hari pembalasan yang ditunggu di akhirat. Ini disebut sebagai taqwa. Tanpa iman dan taqwa, pembangunan yang dilaksanakan sama sekali tidak ada apa-apa nilai di akhirat.

Hadirin dan hadirat yang dirahmati sekalian.

Inilah misi kita di Kelantan. Usaha kita memartabatkan al-Quran tidak terhenti sekadar membaca dan menghafaznya, bahkan kita berusaha membangunkan negeri ini seiring dengan petunjuk al-Quran. Janganlah kita beranggapan bahawa dengan membaca dan menghafaz al-Quran, kita sudah menyelesaikan tanggungjawab terhadap al-Quran.

Di peringkat kerajaan negeri Kelantan, kita patuh kepada ajaran al-Quran dengan membataskan penjualan arak, mengharamkan riba, melarang acara tari-menari di majlis-majlis keramaian, menguatkuasakan larangan menghidangkan minuman alkohol di hotel-hotel, menasihat muslimat menutup aurat, yang non muslim pula kita minta berpakaian sopan dan banyak lagi perubahan yang telah kita perkenalkan yang kesemuanya bersumberkan dari ajaran al-Quran. Kita juga turut memperkenalkan program-program kebajikan seperti kifalah, ladang rakyat kepada semua rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa dan fahaman politik, cuti 60 hari kepada wanita yang bersalin, cuti 2 hari seminggu yang akhirnya turut diamalkan oleh pihak-pihak lain walaupun pada awalnya usaha kita dipandang sinis dan diperlekehkan. Ini membuktikan kesungguhan kita di dalam menterjemahkan isi kandungan al-Quran di dalam masyarakat. Usaha ini tidak akan tamat selama-lamanya selagi nyawa masih dikandung badan. Tanggungjawab mendaulatkan al-Quran tetap terpikul di atas bahu kita selama-lamanya.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

Sesungguhnya tidak pelik jika kain baju kita tidak kotor jika hanya berada di dalam rumah tanpa keluar. Apa yang pelik ialah jika kita berada di luar yang penuh dengan debu, namun pakaian kita tetap bersih tanpa sedikitpun kotor. Demikianlah juga dengan Kelantan, di tengah-tengah arus sekular yang mendominasi suasana negara, Kelantan masih mampu berdiri tegak di atas dasar Membangun Bersama Islam. Inilah kekuatan kita dan inilah yang perlu kita pertahankan selama-lamanya.

Bagi pihak kerajaan negeri Kelantan, syabas saya ucapkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam yang telah berjaya mengadakan majlis MENGHAFAZ AL-QURAN PERINGKAT NEGERI KELANTAN TAHUN 1431H pada kali ini. Semoga setiap amalan yang kita lakukan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

Leave a Reply