Jika Hanya Tidak Puas Hati, Kenapa Melompat?
2010
Sehari dua ini nampaknya politik negara bergoncang dengan tindakan beberapa orang ahli parlimen dan individu dari PKR keluar dari parti. Dari katil hospital, saya membaca gelagat ini yang dipersembahkan satu demi satu. Ada yang mengisytiharkan bebas bahkan ada yang terus memasuki UMNO. Barangkali drama ini sudah di penghujung atau akan ada lagi watak-watak lain, wallahua’lam. Hati manusia memang sukar untuk diduga.
Saya sebenarnya pelik memikirkan tindakan mereka yang keluar parti ini. Dari mula saya membaca alasan-alasan yang dikemukakan, agak terasa janggal sebenarnya. Gendang yang dipalu langsung tidak sama dengan tarian. Mungkin tanah yang tinggi rendah atau pertimbangan yang telah dikuasai kepentingan, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.
Jika punca sebenarnya kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan, adakah sepatutnya langkah keluar parti menjadi pilihan? Tidak wujudkah jalan lain yang lebih dilihat jujur dan harmoni? Saya yakin, jika mahu bersikap jujur, boleh saja didesak supaya adakan mesyuarat tergempar, usulkan cadangan supaya keadaan dibaiki. Usulkan sahaja sidang tergempar, ambil tindakan kepada mana-mana pemimpin yang bersalah. Paling tidak, adakan perbincangan dari hati ke hati. Bukankah ini menjadi amalan biasa turun temurun di dalam menyelesaikan urusan rumahtangga parti? Sedihnya, ribut tidak, hujan pun tidak, tiba-tiba bah melanda! Syak saya teramat kuat akan adanya kepentingan politik tersendiri. Ini bukannya udang di sebalik batu, bahkan buaya.
Mereka yang keluar parti perlu berfikir, jujur membuat penilaian. Bukankah kita dipilih oleh rakyat dengan mandat yang sah? Rakyat memilih wakil mereka melalui parti yang mereka tandingi. Tidak bimbangkah mereka yang melompat, pengundi mereka yang merasa tertipu akan menyumpah seranah? Bukan sahaja pengundi mereka, kalau saya sendiripun ditipu oleh wakil yang dipilih seperti ini, saya akan marah. Di dunia ini kamu berdepan dengan kemarahan pengundi, di akhirat nanti terpaksa pula menjawab di hadapan tuhan!
Pesan saya, lakukankah tindakan yang kita yakin mempunyai jawapan di hadapan tuhan. Biar setitik kesedaran menitis di atas kegersangan hati kita untuk kita menyedari bahawa perbuatan yang dilakukan di dunia ini akan disoal satu hari nanti.
Secara logiknya, pemimpin sebegini perlu meletakkan jawatan. Kembalikan saja mandaat kepadarakyat. Bertanding di atas tiket parti lain, tiba-tiba menukar haluan. Bukankah ini satu penipuan? Umpama meminang anak dara orang dengan perwatakan lebai, alih-alih bertukar rupa menjadi pencuri.
Ada yang berhujah, jika letak jawatan, bagaimana mahu bertanding semula? Saya jawab, jika persoalan bertanding semula menjadi isu, ini bermakna pemimpin tersebut hanya memikirkan kepentingan diri, bukan lagi kepentingan rakyat. Bimbang sangat jika tidak dapat bertanding, jelas dan terang menjaga kepentingan diri. Syak saya dan juga orang lain semakin kuat, apatah lagi jika benar didorong oleh imbuhan berjuta-juta. Barangkali, alasan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara hanyalah ratib palsu sahaja bagi menghalalkan tindakan. Tidak logik, demi menjaga kepentingan agama dan bangsa, menyerahkan diri kepada UMNO, parti yang tidak pernah menjaga agama dan bangsa!
Harap saya kepada rakan-rakan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), janganlah mudah berputus asa. PKR masih lagi muda dalam gelanggang politik negara. PAS sewaktu zaman mudanya dulu juga diancam oleh amalan lompat parti. Di Terengganu, pernah PAS tersungkur kerana ada yang melompat parti. Di zamanAllahyarham Daud Samad dan Allahyarham Datuk Asri Muda, berlaku juga kes lompat parti. Hari ini, PAS sudah dewasa dan matang, tidak lagi kedengaran pimpinan yang melompat sebagaimana dahulu. Bahkan Kelantan pernah diperintah dengan kelebihan satu kerusi dan dua undi! Alhamdulillah, tidak ada yang melompat.
Akhir sekali saya ingin ingatkan sekali lagi, setiap perbuatan dan percakapan kita akan di’audit’ oleh Allah SWT. Mereka yang melompat parti mengkhianati amanah rakyat, hari ini boleh sahaja menjawab, tetapi esok di padang mahsyar, sediakanlah jawapan jika kamu mampu! Jika ingatan saya ini masih belum cukup, sekurang-kurangnya beringatlah dengan firman Allah SWT yang bermaksud : ”Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).”
-Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
4 Mac 2010
Wad 2 Timur,
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)
- penulis ialah Menteri Besar Kelantan.











