TEKS UCAPAN YAB TUAN GURU DATUK MENTERI BESAR KELANTAN DI MAJLIS SAMBUTAN BULAN DAKWAH 1431H

Categorized Under: Teks Ucapan No Commented

PADA  : 22 FEBRUARI 2010

TEMPAT : BALAI ISLAM, LUNDANG

TEKS DIBACAKAN OLEH YB ABDUL PATAH BIN MAHMOOD, AHLI EXCO KERAJAAN NEGERI KELANTAN

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

لَقَدْ كُنْتَ فِي غَفْلَةٍ مِنْ هَذَا فَكَشَفْنَا عَنْكَ غِطَاءَكَ فَبَصَرُكَ الْيَوْمَ حَدِيدٌ

-سورة  ق : 22

Yang bermaksud : “(Serta dikatakan kepadanya): Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)..”

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama bersyukur kepada Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus hidup di bumiNya, menghirup udara segar dengan limpah dan kurniaan daripadaNya.  Seterusnya diberikan pula kesempatan kepada kita untuk berkumpul di dalam majlis sambutan bulan Dakwah bagi tahun 1431 Hijrah ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur khususnya kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan majlis ini.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Islam merupakan satu agama, ia bukan satu falsafah dan rekaan hasil pemikiran manusia. Ia merupakan satu cara hidup yang menyeluruh yang perlu diamalkan, ia bukannya satu ritual upacara ibadat yang terhenti setakat di masjid sahaja, ini kerana Islam merupakan agama yang datang daripada Allah SWT, Pencipta kepada Alam ini. Itulah dia Islam, satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah SWT :

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

-سورة المائدة : 3

Yang bermaksud : ”Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Di antara teras akidah Islam ialah beriman kepada hari kiamat, ia di ulang berkali-kali oleh setiap muslim di dalam solat mereka melalui ayat مالك  يوم الدين yang bermaksud ”iaitu Tuhan yang menguasai hari Pembalasan”. الدين ertinya agama, hari kiamat dinamakan يوم الدين kerana agama ertinya balasan. Dengan agama itulah manusia dibalas oleh Allah SWT di akhirat kelak. Baik agamanya, maka baiklah pembalasannya. Buruk agamanya, demikian jugalah balasannya di akhirat kelak. Itulah hakikat agama, ia bukan satu cara hidup yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai satu pilihan, boleh ditolak dan boleh diterima tetapi ia satu kemestian yang tidak ada pilihan lain kepada manusia. Akhirat pula dijadikan sebagai satu medan untuk membalas amalan manusia yang dilakukan di dunia.

Oleh yang demikian, mahu tidak mahu, manusia perlu diajak untuk beriman kepada perkara-perkara ghaib atau disebut sebagai al-ghaibiyyat.  Manusia perlu diajak untuk beriman kepada perkara yang mereka tidak mampu untuk melihat dan mendengarnya. Sekalipun pemikiran logik manusia mungkin menolak ajakan seperti ini, tetapi jika diiringi dengan kesedaran yang betul dan pandangan yang berteraskan kepada bukti-bukti yang nyata, manusia tidak akan punya pilihan yang lain melainkan beriman. Keimanan kepada perkara ghaibiyyat inilah menjadi tunjang kepada akidah Islam.

Hadirin-hadirat yang dirahmati sekalian,

Islam merupakan agama yang menghargai kebebasan. Ini merupakan prinsip asas di dalam Islam semenjak hari pertama ia diturunkan. Islam tidak membenarkan sebarang paksaan terhadap orang lain untuk memeluk Islam. Prinsip ini begitu jelas di dalam firman Allah SWT :

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

- البقرة : 256

Yang bermaksud : Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka  sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Islam tidak memerlukan kepada paksaan kerana sudah jelas di antara الرشد iaitu kebenaran dan الغي iaitu kesesatan. Kebenaran dan kesesatan begitu jelas berbeza, seperti berbezanya malam dan siang serta putih dan hitam. Islam sebagai agama yang syumul, lengkap dengan peraturannya yang begitu adil, bebas dari sebarang kezaliman, penindasan dan ketidakadilan bukan sahaja agama yang sempurna tetapi  turut dilihat sebagai sempurna. Tidak ada agama, cara hidup, isme, ideologi, peraturan yang secantik Islam. Oleh yang demikian, setiap manusia perlu diajak ke arah akidah yang suci ini. Manusia perlu diajak untuk mengenali Tuhan Yang Maha Pencipta iaitu Allah SWT.

Allah SWT menyebut diriNya sebagai الذي خلق iaitu Tuhan Yang Menciptakan. Mencipta bukan maksud mengubahsuai dari benda yang ada. Mencipta ertinya mengadakan sesuatu yang asalnya tidak ada. Bila disebut Pencipta, sudah pasti Yang Mencipta wujud lebih dulu dari yang dicipta. Tidak munasabah sebuah kereta wujud lebih dahulu dari yang membuatnya, sebuah kerusi wujud lebih dahulu daripada tukang yang membuatnya. Demikianlah alam ini, mustahil ia wujud terlebih dahulu sebelum Tuhan Yang Menciptanya iaitu Allah SWT. Jika Allah SWT telah wujud, maka semestinya tuhan-tuhan yang wujud selepasnya tidak layak digelar sebagai tuhan.

Tuhan juga tidak boleh lebih daripada satu. Ini kerana jika tuhan itu bilangannya lebih daripada satu, nescaya akan ada tuhan yang kuat dan tuhan yang lemah. Tuhan yang lemah sudah tentu tidak boleh menjadi tuhan. Andainya tuhan-tuhan yang wujud itu sama gagah, tentu saja akan berlaku pertembungan dan ini tidak layak bagi tuhan. Asas ini telah disebut di dalam al-Quran :

لَوْ كَانَ فِيهِمَا آَلِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتَا فَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

- سورة الأنبياء : 22

Yang bermaksud : Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.

Demikian juga Tuhan yang disembah mestilah tuhan yang kekal selama-lamanya. Jika tuhan itu tidak kekal sebagaimana sebahagian manusia dahulukala menyembah matahari, bulan dan cakerawala yang pasti akan hancur, sudah tentu ia tidak layak menjadi Tuhan. Lantaran itu Allah SWT memperkenalkan dirinya sebagai الحي iaitu tuhan yang hidup. Hidup bukan untuk sementara tetapi untuk selama-lamanya. Sebarang tuhan yang boleh hancur, mati dan binasa dengan sendirinya tidak boleh dan tidak layak menjadi tuhan.

Allah SWT juga memperkenalkan dirnya sebagai المصور  iaitu Tuhan Yang meletakkan rupa. Daripada makhluk yang asalnya tidak ada, Allah SWT memberikan rupa paras yang berbeza. Berbillion manusia yang diciptakan oleh Allah SWT, kesemuanya mempunyai rupa paras yang berbeza. Daripada perbezaan inilah, manusia dapat dikenali. Alangkah hebatnya Allah SWT yang meletakkan rupa yang langsung tidak sama antara satu sama lain. Bukan sahaja manusia, bahkan diletakkan rupa kepada binatang-binatang yang pelbagai jenis, ada yang diketahui oleh manusia dan ada yang tidak diketahui. Bolehkah tuhan yang disembah selain Allah SWT turut mencipta rupa paras sehebat ciptaan Allah SWT? Jawabnya tentu tidak.

Demikian juga Allah SWT sebagai Tuhan pastinya mempunyai undang-undangNya. Jika kita sebagai suami di rumah, atau guru di sekolah pun mempunyai undang-undang dan peraturan, maka pastinya di dalam mengatur perjalanan alam ini, lebih patut adanya undang-undang. Jika sekolah mempunyai undang-undang, kerajaan yang memerintah mempunyai undang-undang, maka logikkah jika didakwa bahawa Tuhan tidak mempunyai undang-undang? Tentulah tidak logik. Allah SWT juga mempunyai undang-undang, di atas prinrip الأمر dan النهي, Allah SWT memperkenalkan peraturanNya. Semua peraturan ini untuk menyelamatkan kehidupan manusia di dunia dan juga di akhirat. Manusia mempunyai keperluan untuk mematuhi peraturan ini, kerana manusia tidak mengetahui apakah yang akan ditempuhinya di akhirat kelak. Usahkan di akhirat, nasib manusia petang atau malam inipun tidak dapat dijangka. Dengan pengetahuan yang sangat terbatas ini, peraturan Allah SWT pastinya menyelamatkan manusia dari kecelakaan.

Selain itu, Allah SWT juga bersifat البصر iaitu melihat. Melihat dengan pandangan yang jelas dan terang, zahir dan tersembunyi, kecil dan besar tidak lepas dari pandangan Allah SWT. Ini dijelaskan di dalam ayat :

وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ – سورة الحديد : 4

Yang bermaksud : Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

Kebersamaan Allah SWT ini dirangkaikan bersama dengan pertaaan بصير bagi menunjukkan bagaimana rapatnya Allah SWT dengan manusia. Ini mengajar manusia bahawa tuhan yang disembah ini bukanlah tuhan yang jauh, atau hanya jarang-jarang wujud, tetapi ini  ialah Tuhan yang setniasa ada, melihat bahkan bersama dengan manusia.

Lantaran itulah, tuhan yang diperkenalkan di dalam Islam ialah sesuatu yang menepati fitrah. Ia bukan tuhan yang lemah, dhaif dan terdedah kepada kebinasaan yang secara logiknya tidak layak menjadi tuhan. Sayangnya, ramai manusia yang tersesat jalan di dalam perjalanan hidup mencari tuhan yang sebenar. Inilah yang disebut sebagai غفلة  atau kelalaian. Kelalaian inilah yang menjerumuskan manusia ke lembah neraka aapabila berhadapan dengan Allah di akhirat kelak. Oleh yang demikian, manusia perlu diselamatkan, disedarkan dan sentiasa dipandu ke arah kebenaran. Di atas dasar mengajak manusia untuk beriman kepada tuhan inilah, maka diutuskan para nabi ke tengah umat manusia.

Para Nabi datang bukan dengan tujuan untuk mengajar manusia bagaimana untuk menguruskan hidup di dunia semata-mata tetapi yang lebih penting ialah bagaimana untuk berjaya di akhirat. Tugas para nabi inilah yang digelar sebagai dakwah.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

Dakwah bukannya satu tradisi dan adat. Ia satu ketetapan dan kewajipan. Bahkan mulianya umat ini ialah apabila melaksanakan tugas dakwah.Allah SWT berfirman  :

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

-سورة آل عمران : 110

Yang bermaksud : Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik dengan mereka. (tetapi) di antara mereka yang beriman, dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

Ibnu Kathir semasa menafsirkan ayat di atas menyebut bahawa tugas amr makruf dan nahi munkar atau tugas dakwah merupakan ciri penting kepada umat Islam. Bahkan kerana tugas inilah yang menjadikan umat Islam sebagai umat yang terbaik berbanding dengan umat-umat yang lain. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang lelaki :

يا رسول الله، أيّ الناس خير؟

Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang baik? Lalu Rasulullah SAW menjawab :

“خَيْرُ النَّاسِ أقْرَؤهُمْ وأتقاهم للهِ، وآمَرُهُمْ بِالمعروفِ، وأنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ، وَأَوْصَلُهُمْ لِلرَّحِمِ”

yang bermaksud : ”Sebaik-baik manusia ialah paling banyak membaca al-Quran, paling bertaqwa kepada Allah, menyuruh kepada makruf, mencegah daripada munkar dan yang paling banyak menghubungkan silaturrahm”

Hadirin-hadirat sekalian.

Hari ini, masyarakat Islam perlu disedarkan bahawa dakwah merupakan tanggungjawab semua. Masalah sosial yang melanda pelbagai golongan bermula dari anak muda hinggalah kepada golongan pemimpin semuanya berpunca dari kecuaian menyuburkan dakwah di tengah manusia. Sangat jarang sekali kita melihat usaha-usaha dakwah ditonjolkan di dalam media samada media cetak atau eletronik. Lebih jarang lagi golongan yang berpengaruh di dalam masyarakat memilih untuk menjadikan pengaruh mereka sebagai medium dakwah. Hasilnya, lahirlah generasi yang melupakan Allah SWT dan tidak menghiraukan hukumNya. Gejala-gejala seperti rasuah, penyelewengan, buang bayi dan sebagainya berpunca dari hilangnya rasa takut dan gerun kepada Allah SWT. Ketuhanan Allah SWT sudah hilang dari benak sanubari yang akhirnya mengizinkan berlakunya perbuatan yang dilaknat oleh Allah SWT.

Ekoran inilah, kerajaan Kelantan mengambil inisiatif untuk mengadakan bulan Dakwah setiap tahun, bertujuan untuk mengajak masyarakat Islam agar kembali menghayati tugas dan peranan mereka yang sebenar. Dengan suburnya kembali kesedaran untuk melaksanakan tugas dakwah ini, kita mengharapkan agar fenomena keruntuhan akhlak yang berlaku dapat dibendung agar masyarakat kita dapat diselamatkan dari kerosakan dan kebinasaan.

Hadirin dan hadirat sekalian.

Bagi pihak kerajaan negeri Kelantan, syabas saya ucapkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam yang telah berjaya mengadakan majlis sambutan Bulan Dakwah 1431H pada kali ini. Semoga setiap amalan yang kita lakukan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Leave a Reply