Kenyataan DPPNK : Isu Cadangan YAB Tuan Guru Menteri Besar Untuk Mengadakan Perbincangan Dengan UMNO
2010
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) ingin mejelaskan bahawa cadangan YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO adalah bertitik tolak sekiranya PAS boleh mengadakan dialog dengan penganut Kristian, Hindu dan Budha, maka tidaklah salah jika PAS turut berdialog dengan UMNO di atas dasar agama. YAB Tuan Guru telah mengeluarkan kenyataan ini pada 4 Februari 2010 ketika menutup Seminar Pemakaian Kalimah Allah di PUTIK, Pengkalan Chepa.
DPPNK juga ingin menegaskan bahawa saranan YAB Tuan Guru tersebut hanyalah berkisar kepada isu kenapa UMNO menolak Islam sebagai cara hidup termasuk dalam sistem bernegara dan di mana kesilapan PAS di dalam memperjuangkan Islam. Ia sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan isu Kerajaan Perpaduan yang telah ditutup dan isu tersebut tidak berbangkit sama sekali pada kali ini. DPPNK mengingatkan kepada semua pihak agar tidak memutarbelitkan kenyataan YAB Tuan Guru dengan mengaitkan cadangan tersebut sebagai kerjasama di antara UMNO-PAS.
DPPNK juga ingin memberi respon kenyataan kepada Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Saudara Anuar Safian yang mencadangkan agar YAB Tuan Guru membuat pertemuan dengan DAP terlebih dahulu yang didakwa terang-terangan menolak Islam sebelum bertemu dengan UMNO.
Persoalannya, bilakah DAP terang-terangan menolak Islam sebagaimana yang didakwa oleh Anuar? Bagaimana dengan UMNO yang sehingga hari ini masih belum berminat untuk melaksanakan tuntutan Islam di dalama pemerintahan? UMNO sering mengungkit DAP sebagai parti komponen Pakatan Rakyat yang menolak Islam, bagaimana pula dengan parti Gerakan sebagai parti komponen Barisan Nasional yang terang-terangan mengangkat sepanduk menentang pelaksanaan hudud sebagaimana yang berlaku pada tahun lepas?
Bagi pihak DPPNK, kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu merupakan satu kenyataan yang angkuh dan sekaligus menunjukkan bahawa UMNO sememangnya tidak berminat untuk berbincang untuk kebaikan agama. Apa yang UMNO ingin hanyalah menangguk keuntungan politik dari cadangan YAB Tuan Guru tersebut.
Oleh yang demikian, sekali lagi ditegaskan DPPNK berdiri teguh di belakang YAB Tuan Guru dan di dalam masa yang sama mengingatkan semua pihak agar tidak memutarbelitkan kenyataan tersebut dari maksudnya yang asal.
Sekian.
YB ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Kelantan.
Bertarikh : 11 Februari 2010 / 26 Safar 1431











