Oleh : Ridzwan Bin Ahmad
Pensyarah, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Penerimaan maslahah sebagai konsep yang tersendiri sama ada dalam usul al-fiqh secara umumnya ataupun maqasid al-shari‘ah secara khususnya adalah hasil dari kewujudan konsep ta‘lil al-ahkam yang diungkapkan oleh para ulama Usul. Ini kerana ta‘lil al-ahkam merupakan persoalan yang mendasari kewujudan maslahah itu sendiri. Sebenarnya permasalahan ta‘lil al-ahkam di antara persoalan yang paling rumit untuk diperkatakan secara detil dan terarah. Ini kerana terdapat pelbagai andaian dan dakwaan yang berbeza dalam kalangan pengkaji usul al-fiqh ketika menyandarkan para Ulama Usul terhadap konsep tersebut. Bukanlah suatu yang ganjil apabila ditemui dakwaan sesetengah penulis yang menyatakan bahawa penerimaan konsep ta‘lil al-ahkam telah dipersepakati oleh para ulama, namun dalam penulisan yang lain terdapat dakwaan sesetengah ulama menolak konsep tersebut. Sesetengah kitab memuatkan dakwaan bahawa ulama tertentu telah menolak konsep ta‘lil al-ahkam namun dalam kitab yang lain terdapat dakwaan bahawa ulama yang sama menerimanya.
