PENDAHULUAN
Islam merupakan agama yang agung dan syumul bukan sahaja membawa peraturan hidup yang melibatkan di antara makhluk dengan khaliq, bahkan turut membawa syariat bagi menjaga keharmonian hidup sesama manusia. Ia sesuai dengan sifat agama Islam itu sendiri sebagai satu-satunya agama yang diterima oleh Allah SWT (Ali Imran : 85). Lantaran itu, jika ditinjau di dalam al-Quran, terdapat hukum-hukum yang berkaitan dengan jual beli, peperangan, isu-isu rumahtangga, ekonomi dan sebagainya yang menunjukkan kesyumulan agama Islam. Jelas diletakkan panduan-panduan khusus dan umum yang melibatkan urusan hidup manusia yang seterusnya disesuaikan menurut peredaran masa dan zaman. Fiqh atau syariat yang menjadi peraturan hidup muslim seterusnya menjadi satu peraturan yang hidup dan berkembang bersama-sama tamadun manusia. Ia diterjemahkan oleh para mujtahid pada setiap generasi supaya menjadi satu peraturan yang hidup dan bersifat realistik dengan arus kontemporari.
Di antara prinsip yang terpakai di dalam menentukan amalan fiqh semasa ialah konsep maslahah dan mafsadah. Ia merupakan konsep yang penting di dalam memastikan fiqh dan syariat Islam dapat diterima dan diamalkan di alam realiti. Seterusnya ia menolak tanggapan bahawa Islam adalah agama yang kuno dan hanya sesuai di zaman ia diturunkan sahaja. Namun, walaupun ia telah wujud sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi, ia tetap memerlukan metode pentarjihan tertentu agar tindakan mengutamakan mana-mana posisi tidak tersasar dari kehendak hukum Syarak yang asal. Sebenarnya pentarjihan maslahah dan mafsadah melibatkan permasalahan dalam lingkungan semasa dan dalam pelbagai situasi dan kondisi (Ridzwan 2008 : 108). Bagaimanapun penulisan ini hanya akan memberikan fokus kepada konsep mafsadah dan peranannya dalam menyelesaikan isu-isu semasa.
PENGERTIAN MAFSADAH
Mafsadah berasal dari kalimah fasad iaitu rosak. Di dalam istilah fiqh, ia merujuk kepada perkara-perkara yang merosakkan salah satu dari maslahah yang utama. Maslahah yang utama ini juga sering disebut sebagai Dururiyyat al-Khums. Maslahah yang utama tersebut ialah :
1) Al-muhafazah `ala al-din (menjaga/memelihara keselamatan agama). Ia terhasil dengan menghindarkan timbulnya fitnah dan keselamatan dalam agama serta membasmi dorongan hawa nafsu dan perbuatan-perbuatan yang mengarah kepada kerusakan secara penuh. Contohnya hukuman terhadap ahli bid’ah yang menyebarkan kesesatannya. Ini kerana kegiatan tersebut akan memberikan kesan kepada fahaman agama orang lain.
2) Al-muhafazah ‘ala al-nafs (menjaga/memelihara keselamatan jiwa). Ia bermaksud jaminan keselamatan atas hak hidup yang terhormat dan mulia. Termasuk dalam pengertian umum ini adalah jaminan keselamatan nyawa, anggota badan dan terjaminnya kehormatan kemanusiaan. Contohnya kewajiban hukuman qisas, karena dengan qisas jiwa-jiwa lain akan diselamatkan dari pembunuhan.
3) Al-muhafazah ‘ala al-‘aql (menjaga/memelihara keselamatan akal), iaitu menjamin akal fikiran dari kerusakan yang menyebabkan tersebarnya masalah sosial di tengah masyarakat serta merebaknya sampah masyarakat. Contohnya pengharaman arak dan segala sesuatu yang memabukkan/menghilangkan daya ingatan adalah bertujuan untuk menjamin keselamatan akal.
4) Al-muhafazah ‘ala al-nasl (menjaga/memelihara keselamatan keturunan), ialah jaminan penerusan keturunan umat manusia agar tetap hidup dan berkembang baik. Contohnya hukuman terhadap penzina yang bertujuan memelihara kesucian keturunan..
5) Al-muhafazah ‘ala al-mal (menjaga/memelihara keselamatan harta). Ia dilaksanakan melalui usaha meningkatkan kekayaan seseorang secara profesional melalui cara-cara yang halal, bukan mendominasi ekonomi secara keseluruhannya dengan cara yang zalim dan curang. Contohnya melalui pengharaman riba dan rasuah.
Setiap segala sesuatu yang bermaksud dan bertujuan untuk memelihara kelima-lima perkara di atas (atau turut disebut sebagai maqasid al-syari’ah), dinamakan maslahah; sedangkan segala sesuatu yang menghilangkan salah satu dari lima perkara di atas, dinamakan mafsadah, di dalam masa yang sama menolak/menghilangkan mafsadah berarti maslahah.
STANDARD PENENTUAN MAFSADAH
Pada sudut kefahaman buat maslahah (kebaikan) mahu pun mafsadah (keburukan) dalam kehidupan seharian sebagai seorang insan dimana-mana pun, pada dasarnya adalah sama atau hampir sama. Seterusnya ia berubah-ubah mengikut persekitaran, pengetahuan yang dikuasai, tabiat-tabiat yang sedia ada, penekanan dari satu-satu pihak atau sesuatu perkara, penjelasan atau pengalaman dari kehidupan yang dilalui dan seterusnya dan yang paling penting ialah kepatuhannya kepada syariat Islam.
Contohnya, bila memperkatakan apakah maslahah (kebaikan)untuk fizikal atau kesihatan, tentunya adalah tentang pemakanan yang sihat atau berzat, aktiviti kehidupan seharian yang sihat, suasana sekitar atau tempat yang diduduki adalah bersih mahupun aman dan seterusnya. Bila memperkatakan tentang maslahah untuk mental atau jiwa, tentunya adalah tentang mentaliti yang baik, akhlak yang murni, tingkah-laku yang beradab, pemikiran mereka yang dipersekitaran kehidupan seharian adalah kalangan mereka yang matang, keadaan dari sekitar atau dari sesuatu yang tidak menekan dan seterusnya.
Manakala bila memperkatakan mafsadah (keburukan)kepada individu mahupun masyarakat pula adalah sebaliknya misalnya untuk fizikal, mafsadahnya adalah dari aktiviti kehidupan yang tidak sihat, pengambilan makanan yang tidak berzat atau mengandungi bahan-bahan pencemaran, tabiat-tabiat yang tidak baik seperti merokok dan lain-lain, peperangan yang mencacatkan tubuh-badan dan seterusnya. Manakala mafsadah untuk mental atau jiwa pula seperti dari gejala-gejala tidak elok samaada keruntuhan moral mahupun pengaruh budaya songsang di persekitaran, kerosakan akhlak, tekanan dalam kehidupan seharian dan seterusnya.
Secara umumnya, manusia dengan fitrahnya tidak berbeza di dalam menngiktiraf maslahah dan mafsadah. Apa yang seterusnya membezakan ialah tahap pegangan beragama masing-masing. Contohnya, loteri adalah suatu perjudian yang membawa mafsadah buat masyarakat, manakala yang tidak kuat pegangan agamanya mahupun mereka yang tiada beragama, menganggap loteri itu bukanlah satu mafsadah bahkan satu maslahah untuk menanam harapan menjadi kaya.
Perbezaan dan penafian tentang apa yang membawa maslahah atau mafsadah yang terjadi terutama berasal dari pegangan, kebiasaan, pemikiran mahupun kehendak individu atau masyarakat adalah seterusnya merupakan dataran untuk membina kebudayaan dan cara hidup berlandaskan di atas kefahaman terhadap sesuatu tersebut.
MENYELESAIKAN PERMASALAHAN DENGAN MENGGUNAKAN PENDEKATAN PENOLAKAN MAFSADAH JIKA BERLAKU PERTEMBUNGAN DI ANTARA DUA MAFSADAH
Untuk melihat permasalahan ini secara terperinci, perbahasan berkaitan dengan penentuan terhadap pertentangan di antara dua mafsadah dapat dilihat sebagaimana berikut :
- Pertentangan di antara dua mafsadah yang sama kedudukannya dalam daruriyyah, hajiyyah dan tahsiniyyah.
Dalam keadaan ini mafsadah hendaklah ditolak dan dilenyapkan tanpa diganti dengan mana-mana mafsadah lain yang setaraf dengannya. Hal ini berdasarkan kaedah fiqh الضرر لا يزال بمتله iaitu sebarang kemudharatan tidak boleh dihilangkan dengan kemudharatan yang setaraf dengannya.
Contohnya, seseorang itu tidak dibolehkan membunuh orang lain apabila dia dipaksa melakukannya walaupun demi memelihara nyawanya. Dalam situasi ini hendaklah dia bersabar terhadap pembunuhan itu jika tidak mampu mempertahankan diri. Ini kerana bersabar ke atas pembunuhan dirinya adalah lebih ringan mafsadahnya daripada bertindak menjadi pembunuh. Begitu juga dalam permasalahan untuk menyelamatkan kapal dari tenggelam, tidak boleh memilih mana-mana anak kapal untuk dibuang ke laut semata-mata untuk menyelamatkan sebahagian anak kapal yang lain. Ini kerana kesemua mereka adalah sama. Oleh itu tidak dibolehkan mafsadah digantikan dengan mafsadah yang sama.
- Pertembungan di antara mafsadah rajihah dengan mafsadah marjuhah.
Apabila berlakunya kontradiksi di antara mafsadah rajihah mafsadah marjuhah maka hendaklah diutamakan penolakan terhadap mafsadah rajihah. Permasalahannya untuk menilai penentuan mafsadah rajihah dan mafsadah marjuhah perlukan piawaian tertentu. Kadangkala pertembungan berlaku di antara kedua mafsadah dalam keadaan yang tidak mampu diraikan melainkan terpaksa memilih mana-mana mafsadah. Dalam situasi salah satu mafsadah perlu dikorbankan untuk memilih mana-mana mafsadah maka piawaian berikut perlu diambil kira :
2.1 Mengutamakan penolakan mafsadah yang lebih berat ke atas mafsadah yang ringan. Ini berdasarkan kaedah-keadah fiqh seperti berikut :
2.1.1 الضرر الأشد يزال بالضرر الأخف (kemudharatan yang besar dihilangkan dengan kemudharatan yang lebih ringan) (al-Zarkashi : 2000)
2.1.2 إذا تعارض مفسدتان روعي أعظمهما ضررا بارتكاب أخفهما (bila bertembung di antara dua kemudharatan, ditolak mudharat yang lebih besar dengan melakukan mudharat yang lebih ringan)
2.1.3 يختار أهون الضررين (dipilih yang lebih ringan dari dua mudharat)
Di antara contoh yang dikemukakan oleh sebahagian fukaha dalam kes ini ialah berkaitan dengan kelayakan sebagai pemimpin negara. Pada asalnya pemimpin bagi umat Islam hendaklah di kalangan mereka yang terbaik di kalangan umat Islam. Ini supaya pemimpin tersebut ditaati dalam tindakannya mencapai kemaslahatan dan menolak mafsadah. Walau bagaimanapun ketika berhadapan dengan ketiadaan calon pemimpin yang terbaik, yang ada hanya dua orang yang fasiq, maka hendaklah dipilih yang paling kurang fasiqnya. Walaupun keduanya membawa mafsadah kepada negara namun memilih mafsadah yang ringan diutamakan dari memilih mafsadah yang berat.
2.2 Utamakan memilih mafsadah kassah untuk menolak mafsadah ‘ammah. Kaedah ini dilaksanakan berdasarkan kepada kaedah-kaedah seperti berikut :
2.2.1 يتحمل الضرر الخاص لأجل دفع الضرر العام (Ditanggung kemudaratan khas demi menolak kemudratan yang umum) (Ibn Nujaym : 1999)
2.2.2 دفح الضرر العام واجب بإثباث الضرر الخاص (Menolak kemudaratan umum itu wajib dilakukan dengan mensabitkan (mengambil) kemudaratan khas) (Al-Husayni : 1350H)
Di antara contoh dalam permasalahan ini ialah pemerintah boleh menegah doktor yang jahil dari mengubati pesakit demi menolak kemudaratan terkena kepada orang awam akibat kejahilan tersebut Ini termasuklah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap para doktor yang cuai dalam melakukan tugas kedoktorannya memandangkan kes-kes kecuaian doktor kerap berlaku sejak akhir-akhir ini. Demikian juga Kerajaan hendaklah bertindak mengawal dengan ketat semua makmal ujian perubatan sama ada dimiliki oleh pihak kerajaan mahupun swasta yang menjalankan sesuatu ujian perubatan walaupun tindakan tersebut mendatangkan kesukaran kepada pihak-pihak yang terlibat.
2.3 Mengutamakan penolakan mafsadah qatciyyah ke atas mafsadah mawhumah. Kaedah ini sudah jelas di dalam hukum syarak dan merupakan di antara kaedah-kaedah asas yang disepakati oleh para ulama fiqh. Di antara contoh yang boleh dikaitkan dengan kaedah ini ialah melaksanakan hukum hudud sekalipun dikhuatiri tidak berlaku keadilan. Sesetengah pihak mendakwa hukuman Hudud tidak boleh dilaksanakan selagi pelaksanaan hukuman tersebut masih menimbulkan keraguan terhadap keberkesanannya dalam menegakkan keadilan. Sebenarnya mafsadah yang hendak ditolak merupakan mafsadah sharciyyah yang bersifat pasti kerana telah ditunjukkan oleh nass-nass Syarak sedangkan semua tegahan Allah s.w.t. merupakan mafsadah sama ada bersifat di dunia mahupun di akhirat. Apabila Allah s.w.t. mengetahui sebahagian dari manusia yang tidak gerun dengan ancaman dan janji buruk yang diberikanNya maka disyariatkan hukuman Hudud dan Qisas demi menolak mafsadah dan jalan-jalannya (wasilahnya) Apabila cara tersebut merupakan penyelesaian dari Allah maka semua muslim wajib meyakininya tanpa berbelah bagi. Manakala keadilan yang dipersoalkan itu hanya berupa andaian yang tidak berlandaskan fakta yang meyakinkan bahkan satu prejudis dan provokasi terhadap hukum Islam apabila hukuman konvensional yang terbukti telah gagal menjelmakan keadilan kepada manusia sehingga kini tidak dihighlightkan. Oleh itu hendaklah diutamakan penolakan mafsadah qatciyyah (pasti) terhadap mafsadah mawhumah (samar-samar).
2.4 Mengutamakan mafsadah yang disepakati oleh para ulama terhadap penolakannya ke atas mafsadah yang masih diperdebatkan lagi. Di antara contoh situasi yang boleh dikaitkan dengan kaedah ini ialah :
2.4.1 Seorang lelaki dipaksa melakukan pembunuhan ataupun dirinya akan dibunuh jika enggan melakukannya. Dalam situasi ini hendaklah diutamakan kesabaran diri dibunuh dari bertindak membunuh. Ini kerana tegahan membunuh merupakan mafsadah yang disepakati oleh para ulama yang membawa kepada haram secara mutlak. Manakala hukum menyerah diri dibunuh, mafsadah yang masih diperdebatkan di kalangan ulama sama ada diharuskan atau tidak.
2.4.2 Begitu juga pengamalan bayc al-cinah oleh kebanyakan bank di Malaysia ketika ini dalam menghadapi kemelut riba yang masih menghantui ekonomi Malaysia. Golongan jumhur mengharamkan bayc al-cinah manakala Imam Al-Shafici mengharuskannya. Demi mengelak mafasadah riba sebenar yang masih diperkenalkan oleh bank-bank konvensional maka pengamalan bayc al-cinah adalah sebahagian dari alternatif untuk mengeluarkan umat Islam dari kemelut riba ketika ini. Dengan adanya transaksi bayc al-cinah sebagai alternatif maka menjadi haram umat Islam terlibat dengan pinjaman konvensional. Oleh itu diutamakan penolakan mafsadah yang disepakati ke atas mafsadah yang masih diperdebatkan lagi.
2.5 Mengutamakan penolakan mafsadah yang membawa kepada terhapusnya Syariat Islam ke atas mafsadah lain yang melibatkan kehidupan manusia. Ini kerana mafsadah yang menimpa sebahagian manusia itu boleh ditangani dengan memperkemaskan penghayatan Syariat Islam secara global dan bukannya dengan cara mencari jalan menghapuskan mana-mana Syariat Islam yang asal. Terhapusnya mana-mana Syariat Islam merupakan mafsadah yang paling besar sedangkan Syariat Islam itu sendiri berdiri berasaskan pencapaian maslahah dan penolakan mafsadah terhadap manusia. Contohnya isu poligami iaitu apabila hak poligami yang pada asalnya diberikan Islam kepada lelaki diswastakan (dipindahmilikkan) kepada isteri. Sama ada sedar atau tidak tindakan mewajibkan persetujuan isteri secara mutlak sebenarnya membawa kepada terhapusnya salah satu Syariat Islam yang dibenarkan walaupun mereka mendakwa hal tersebut untuk menghapuskan mafsadah yang ada iaitu suami tidak mampu bertanggungjawab, tidak memberi keadilan dan sebagainya.
PENUTUP
Menjadi satu tuntutan yang sangat penting bagi setiap individu umat Islam mempelajari atau sekurang-kurangnya mengetahui konsep mafsadah di dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Walaupun sebahagian mafsadah ini tidak dinyatakan oleh para ulama silam secara terperinci dan terarah dalam kitab-kitab klasik mereka namun ianya mampu difahami hasil kefahaman terhadap standard mafsadah dalam pelbagai situasi dan posisi yang merupakan manifestasi dari kefahaman yang mendalam terhadap ilmu maqasid al-sharicah.
Selain itu maqasid al-sharicah sewajarnya dijadikan salah satu ilmu terpenting sebagaimana pentingnya ilmu sains dan teknologi masa kini. Kalau ilmu sains dan teknologi bertindak sebagai pelengkap kepada keperluan hidup manusia yang sentiasa berubah-ubah, ilmu maqasid al-sharicah pula melalui standard maslahah dan mafsadah yang didukunginya secara terarah dan berterusan akan melengkapkan lagi keperluan manusia kepada agama dan kehidupan mereka di dunia.











