Menyantuni Perbezaan di Dalam Berjemaah

Dec
2009
02

posted by on Isu Semasa

3 comments

“Apa pandangan anta tentang kerajaan perpaduan?” Soalan yang ’famous’ seperti itu seringkali ditujukan kepada saya sendiri sewaktu isu ini meletus pertengahan tahun ini. Biasanya soalan itu tentunya tidak habis di situ. Biasanya ia akan merebak kepada anta berada di pihak mana antara Datuk Husam dan Ustaz Nasa? Di dalam pemuda Kelantan, anta menyokong siapa, Ustaz Latif atau Ustaz Nik Abduh? Anta di kelompok mana, Tokguru Nik Aziz atau Tokguru Haji Hadi? Itulah soalan-soalan nakal yang biasanya sudah dipakejkan siap-siap untuk diajukan.

Hari ini, perbezaan pandangan di dalam PAS seolah-olah sudah menjadi satu konflik. Media massa menyuluh dengan begitu terang sekali apa jua perbezaan yang berlaku dengan meninggalkan rumahtangga parti-parti di dalam Barisan Nasional yang jauh sebenarnya lebih hebat bergolak. Sebaris perkataan di dalam apa jua kenyataan yang keluar dari mulut pimpinan PAS dinaiktarafkan menjadi berita utama berminggu-minggu dengan meminta komen dari seluruh pembesar negeri.


Saya suka menyatakan, saya memilih untuk menjadi penyokong dan pendokong PAS. Bukan menjadi penyokong atau pendokong kepada mana-mana pemimpin yang tertentu. Ini sikap saya. Tentu sahaja sikap ini mewajarkan untuk kita terpinggir, namun terpinggir kerana tidak memihak lebih baik dari terpinggir kerana terlampau memihak.

Di dalam hidup berjemaah, perbezaan pandangan merupakan satu lumrah di dalam kehidupan. Tidak perlu 100 orang, hanya dua orang sahaja sudah menerbitkan perbezaan pandangan. Bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah berbeza pandangan dengan para sahabat, tetapi tidak pernah pula timbul perbalahan. Saidina Abu Bakar as-Siddiq pernah berbeza pandangan dengan Saidina Umar al-Khattab di dalam isu memerangi golongan murtad, namun tidak pula kedengaran di dalam sejarah berlaku perbalahan antara keduanya.

Lantas, bagaimanakah sebaiknya bagi seorang pendokong jemaah menyantuni perbezaan? Saya mencadangkan beberapa perkara :

Tidak keterlaluan menyanjungi pemimpin tertentu : Menyanjungi pemimpin merupakan sifat yang baik. Bahkan mentaati pimpinan merupakan kunci kepada kejayaan jemaah. Namun, terlampau menyanjungi mana-mana tubuh pemipim sehingga meletakkannya seolah-olah tiada tandingan merupakan satu kesilapan. Contohnya, menyanjungi YAB Tuan Guru Nik Aziz, merupakan satu lumrah kepada pendokong PAS. Namun mendakwa bahawa ”Tokguru Nik Aziz merupakan benteng terakhir PAS di Kelantan, tanpa tokguru Nik Aziz rebahlah PAS” adalah satu kenyataan yang tersasar. Kenyataan inilah yang sedang diratib oleh pihak-pihak yang ingin melihat rebahnya kerajaan PAS di Kelantan ini. Kita sama-sama menyayangi tokguru, namun percayalah, jasad tokguru tidak akan selama-lamanya berdiri teguh. Sampai masa, ia akan rebah jua. Lantas, pada masa itu, kepada siapa perjuangan ini akan disandarkan kalau semuanya disandarkan kepada tokguru?

Tidak menggunakan medium terbuka untuk menyerang pimpinan tertentu. Tidak bersetuju dengan pandangan sesiapa merupakan hak seseorang. Anda berhak untuk tidak bersetuju dengan sesiapa sekalipun waimma dengan pimpinan tertinggi. Namun, menggunakan medium terbuka seperti blog, facebook dan sebagainya untuk memperlekeh dan menghina satu perbuatan yang jelas tidak beradab.

Bersangka baik dengan pimpinan. Kalau ditanya kepada saya, saya bersangka baik dengan pimpinan PAS khususnya di Kelantan. Pada saat Kelantan hanya tinggal satu kerusi sahaja sebagai majoriti, semua ADUN-ADUN PAS teguh bertahan tanpa melompat. Pada masa itu letakkanlah nilaian, 1 juta? 2 juta? 100 juta? UMNO pasti akan sanggup. Tetapi nyata sekali, tidak seorangpun dari kalangan mereka yang melompat. Ada orang berkata, ianya kerana sumpah taklik. Saya yakin, sumpah taklid seperti itu yang masih lagi mempunyai ruang fiqh untuk dipertikai sebenarnya bukanlah faktor terkuat menghalang ADUN PAS melompat. Ia kerana aqidah, prinsip dan keyakian terhadap syurga dan neraka. Kawan-kawan, orang-orang yang diserang pada hari ini, merekalah antara lain yang bertahan pada masa kerajaan PAS hanya tinggal satu kerusi majoriti. Mereka harus diberikan tabik beratus-ratus kali.


Bersikap diam terhadap pertikaian sesama mereka. Jika sesama pimpinan terdapat perbezaan pandangan, mereka boleh selesaikan di meja rundingan. Tetapi jika perinngkat bawahan mengheret pertikaian ini ke kedai kopi, bilakah ia boleh diselesaikan? Pemimpin yang bertanding ialah soal biasa dalam PAS. Menyanjungi pemimpin A bukan bererti menolak pemimpin B. Apa salahnya menyanjungi kedua-duanya? Contoh yang jelas ialah dalam pemuda PAS Kelantan, saya sering ditanya, anda berada di sebelah mana, Ustaz Latif atau Ustaz Nik Abduh? Saya katakan, saya menyanjungi dan menyayangi kedua-duanya! Pertandingan sesama mereka bukan urusan saya untuk memikirkannya. Hari ini, saya merupakan exco Pemuda PAS Kelantan dan YB Ustaz Latif sebagai ketua saya. Menjadi kewajipan kepada saya untuk mentaatinya pada masa ini, mencurahkan seluruh taat setia kepada gerak kerja parti. Namun, adakah itu bererti memutuskan sikap hormat saya kepada Ustaz Nik Abduh, saya katakan sekali-kali tidak! Salahkah saya?

Barangkali pandangan saya bukanlah yang terbaik, tetapi saya beruasaha untuk menjadi pendokong kepada perjuangan ini, bukannya jentera yang bekerja merebahkan jemaah sekalipun pada zahirnya nampak menyokong! Allah sebaik-baik pelindung.

2 Disember 2009

3 comments

  1. Gu Kito

Trackback e pingback

No trackback or pingback available for this article

Leave a Reply

Why ask?