Catatan Kembara Pejuang (2)
2009
Saya tiba di Hotel Renaissance jam 6.15 petang. Tepat jam 6.30 petang, Musher OK Massri, jurucakap rasmi HAMAS sudah tercegat di depan hotel. Saya teringat pergaulan dengan orang-orang Arab ketika menuntut di Mesir, biasanya mereka jarang menepati masa, demikian juga pengalaman kawan-kawan ketika berurusan dengan orang Arab. Tetapi berlainan dengan orang yang ditarbiyah dengan jihad. Ahli-ahli parlimen HAMAS ini membuktikan bahawa bukan bangsa yang menjadi faktor kegagalan menepati masa. Bahkan, orang Melayu pun sering dikenali dengan ‘janji melayu!’
“Kita ke masjid yang agak jauh?” Musher bertanya.
“Ya, masjid Wakaf Bharu. Al-Waqful Jadid.. -:) kita perlu menyeberangi sungai. Dua lagi kawan-kawan anda ke Masjid Kota, dekat sedikit.” Saya sekadar menerangkan ringkas, menyedari bahawa orang yang akan saya bawa ini tentunya langsung tidak mengetahui selok-belok nama-nama tempat di Kelantan ini.
Perdana rasmi kerajaan yang membawa kami agak perlahan menuju ke destinasi. Petang ini, kesesakan lebih teruk dari biasa. Saya menerima sms, “KB Mall runtuh!” Namun di depan saya maasih tercegat bangunan KB Mall, cuma ratusan orang sedang mengerumuni menambahkan lagi kesesakan lalulintas menuju ke Jalan Hamzah. Rupanya, sebuah kereta menjunam dari tempat letak kereta di tingkat atas ke ruang membeli belah. Khabarnya, dua orang meninggal dunia.
Di masjid Wakaf Bharu, saya memulakan majlis selepas solat Maghrib. Bersama-sama kami ialah YB Che Abdullah, ahli exco kerajaan negeri yang juga ADUN Wakaf Bharu. Saya menerangkan secara ringkas berkenaan lawatan ahli-ahli parlimen HAMAS ini di samping memperkenalkan Musher kepada para jemaah. Musher, seorang lulusan Master Fiqh Siasi dari Islamic Gaza Universitiy. Masih muda, dilahirkan pada tahun 1974 dan telah memikul tannggungjawab sebagai jurucakap rasmi HAMAS. Musher kemudiannya menyampaikan ucapan dengan diterjemahkan oleh saya sendiri. Beliau menceritakan bagaimana isu Palestin bukanlah isu rakyat Palestin semata-mata, tetapi ia adalah isu umat Islam. Selain itu, diceritakan bagaimana kegiatan Yahudi pada hari ini yang menggali lubang di bawah Masjidil Aqsa dengan tujuan untuk mencari apa yang didakwa sebagai Haikal Sulayman. Lubang ini semakin membesar dan boleh memberikan kesan kepada binaan Masjidil Aqsa bila-bila masa sahaja. Disebut juga berkenaan sekatan kepada Gaza sehingga makanan pun terpaksa dibawa melalui lubang yang digali dari Mesir hingga ke Gaza. Bayangkanlah, betapa gigihnya penggali-penggali lubang ini yang sanggup menggali sehingga beberapa kilometer semata-mata untuk meneruskan kehidupan di bumi Gaza.
Rakaman ucapan di Masjid Wakaf Bharu boleh dimuat turun di sini
Saya seterusnya mengiklan kutipan derma untuk Palestin dan alhamdulillah, pada malam itu jumlah derma yang dicatat ialah melebihi RM2,000. Khabarnya kutipan di Masjid Kota juga memberansangkan, RM1700.
Kami kemudiannya ke rumah YB Che Abdullah untuk makan malam. Di sini Musher meneruskan ceritanya bagaimana speaker rasmi Palestin yang menang di Tebing Barat telah dihalang dari menunaikan tanggungjawabnya sebagai speaker di parlimen yang terletak di Gaza. Cerita yang disampaikan persis drama yang berlaku di sebuah negeri di Malaysia di mana speaker rasmi dinafikan haknya sama sekali. Kebetulankah atau sememangnya mereka seguru? Lebih melucukan lagi apabila belanjawan di negeri tersebut diluluskan hanya dalam masa 20 minit sahaja!
Perbualan yang agak panjang di rumah YB Che Abdullah di Wakaf Baru agak mengasyikkan. Musher begitu bersemangat bercerita kepada kami, dan meletihkan juga untuk menterjemah kata-katanya. Apapun, hidangan istimewa di rumah Che Loh tentunya memberikan nostalgia kepada Musher.
Saya membawa Musher, Ziyad dan Faiz balik ke hotel kira-kira pukul 10.15 malam. Sebelum mereka yang agak keletihan memasuki hotel, saya berpesan, ”Esok tepat 9.30 pagi, kita akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan.”
…bersambung











