dari kiri : Faiz, Musher OK Massri, Ustaz Asri, Muhandis Ismail al-Asyqar, Doktor Salim Salamah
“Yahudi menghalang kami dari memasuki Masjid Aqsa, negara-negara Arab pula menghalang kami dari memasuki Masjid Haram…”demikian keluhan Muhandis Ismail al-Asyqar, salah seorang ahli Parlimen HAMAS lewat lawatannya ke Kelantan beberapa hari lepas. Terlintas di fikiran saya betapa beratnya bebanan yang ditanggung oleh pejuang-pejuang HAMAS tatkala musuh yang mereka hadapi bukan sahaj Israel tetapi juga saudara sebangsa dan seagama dengan mereka sendiri!
Demikianlah di antara dialog saya dengan ahli-ahli rombongan lawatan ahli parlimen HAMAS ke Malaysia tatkala mereka bertandang ke bumi Serambi Mekah ini. Mujur juga rasanya dihubungi oleh Haji Wan Zul dari Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan untuk mengiringi rombongan ini, inilah kali pertama sebenarnya saya dipertanggungjawabkan mengiringi pelawat dari Timur Tengah dari lapangan terbang tatkala mereka tiba hinggalah ke lapangan terbang saat mereka mahu kembali.
Bersama Ustaz Asri Daud, pensyarah KIAS di Jabatan Syariah, kami sampai di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa pada jam 2.40 petang 6 Disember lepas untuk menyambut ketibaan ahli-ahli rombongan yang terdiri dari pimpinan HAMAS. Rombongan mereka dianggotai oleh Muhandis Ismail al-Asyqar selaku ketua rombongan yang juga merupakan naib ketua Parlimen Palestin, Doktor Salim Salamah, bendahari parllimen, Mushir OK al-Massri yang merupakan jurucakap rasmi HAMAS serta saudara Ziyad selaku wartawan pengiring. Kedatangan mereka di atas jemputan Presiden PAS dan Kelantan merupakan lokasi pertama mereka di Malaysia sebelum berada selama seminggu di Kuala Lumpur.
”Kami baru pulang dari mengerjakan haji, terus kami datang ke Malaysia dari Saudi,” ujar Muhandis Ismail Asyqar sewaktu menaiki kereta Perdana milik kerajaan negeri Kelantan. Memang saya sendiri melihatnya agak keletihan mengharungi perjalanan begitu jauh. Keselesaan kereta Perdana SUK ini masih belum mampu mengurangkan rasa letihnya.
”Bagaimana keadaan saudara-saudara kami di Palestin?” saya menyoal sekadar bertanya khabar. ”Hum Yusallimuna alaikum (mereka mengirim salam padamu semua)” jawab beliau sambil melemparkan pandangan melihat keindahan Kota Bharu yang sedang sesak dengan pertambahan bilangan kereta di musim cuti sekolah. Jalan ke JKR10 nampaknya perlu ditempuhi dengan perlahan ekoran kesesakan lalulintas. Menunggu di sana ialah Datuk Ahmad Yaacob, Timbalan Menteri Besar bersama beberapa orang ahli exco dan wakil-wakil rakyat.
”Berapakah bilangan penduduk Kelantan?” Dia bertanya.
”1.5 juta lebih kurang”
”Seperti bilangan penduduk Gaza. Kelantan di Malaysia ialah Gaza di Palestin” ujarnya bersahaja. Saya hanya tersenyum. Barangkali benar kata-kata beliau. Bezanya, Gaza di Palestin disekat pelbagai bantuan oleh kerajaan Israel, ‘Gaza’ di Malaysia disekat royalti oleh….. ?
“Kenapa anda berkata demikian?” saya cuba mencungkil.
“Lihatlah keadaan masyarakat kamu. Kebanyakan wanita berhijab sama seperi di Gaza. Berbeza dengan apa yang aku saksikan di Kuala Lumpur pagi tadi.” Saya hanya mengangguk.
Selesai makan tengah hari bersama dengan pimpinan kerajaan negeri di JKR10, kami menghantar para tetamu ini ke tempat penginapan mereka di Hotel Renaissance. Menurut Ustaz Asri, mereka kelihatannya agak berwaspada untuk memasuki bilik hotel, mungkin terbawa-bawa dengan sikap mereka di Palestin yang sentiasa diburu oleh bom dan juga peluru sesat Israel. Apatah lagi status mereka sebagai pimpinan HAMAS yang sentiasa dikehendaki oleh Israel. Alhamdulillah, di Malaysia selain isu C4 dulu, jarang kita mendengar pembunuhan dengan bom. Kata Ustaz Asri kepada para tetamu, ”Petang ini, pukul 6.30 kita akan bertolak ke dua buah masjid untuk kuliah maghrib, rehatlah kalian tetapi jangan terbabas…!”
…bersambung.
Kelihatan YB Baihaqi Atiqullah (ADUN Pasir Tumbuh) sedang enak menjamh makan tengah hari
Datuk Ahmad Yaacob, Timbalan Mennteri Besar Kelantan dan ahli-ahli Parlimen HAMAS
