12 November 2009 – Utusan Malaysia merupakan satu media yang hanya akan menyalurkan berita yang boleh memberikan keuntungan kepada UMNO/BN. Mana mungkin lidah rasmi seperti ini akan menyiarkan berita yang positif berkenaan lawan mereka. Bahkan dalam dunia kewartawanan, hari ini prinisp seolah-olah sudah menjadi perkataan yang sedang dalam proses ‘pemuziuman’.
Lantas, membaca berita dari Utusan Malaysia perlulah dipakejkan dengan sikap waspada. Hari ini, Utusan Online melaporkan bagaimana Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Mohd Ali mempertahankan tindakan JAIS yang menahan bekas mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin minggu lepas ekoran ketiadaan tauliah untuk menyampaikan ceramah agama.
Saya tidak suka mempercayai Utusan Malaysia, tapi jika apa yang dilaporkan itu betul. Nampaknya ada sesuatu yang kurang sesuai sedang berlegar dalam lingkungan PAS Selangor. Saya tidak suka berbicara berkenaan dengan konflik kerajaan perpaduan dan sebagainya. Saya memilih untuk menjadi orang PAS, bukan orang kepada mana-mana individu.
Namun, di dalam hal ini, kenyataan Datuk Hassan Ali nampaknya sedikit tersasar. Saya tidak kata beliau salah, kenyataanny betul dari sudut undang-undang tetapi undang-undang pun punya budi bicara. JAIS mempunyai ruang untuk mengecualikan seseorang yang dirasakan layak dari kewajipan mendapatkan tauliah. Dalam hal ini, tentunya Dr Asri mempunyai kelayakan tersebut. Adapun jika JAIS melihat menerusi kanta pertembungan manhaj, maka selama-lamanya Dr Asri tidak akan layak sekalipun menduduki peperiksaan untuk mendapatkan tauliah.
Sentimen negara ke arah mempertahankan Dr Asri. Dari Perdana Menteri, Ketua Pemuda UMNO dan menteri-menteri begitu juga Mursyidul Am PAS, Ketua Pemuda PAS dan rakyat umumnya kesal dengan tindakan JAIS. Benar, JAIS bertindak mengikut bidang kuasanya, namun tidak menggunakan budi bicara pada ketika ia boleh digunakan meletakkan JAIS di sudut terpencil dari sokongan umum.
Dr Hassan Ali memilih untuk berpihak kepada JAIS sekalipun sedar khalayak akan memulaukannya. Kenyataannya tidak memberikan keuntungan bahkan mendatangkan kecederaan kepada PAS bahkan Pakatan Rakyat di Selangor. Amat baiklah jika Dr Hassan Ali tidak mengambil langkah ke belakang seperti itu.
Itupun, jika laporan Utusan Malaysia boleh diterima.
