Ke Arah Memperkasakan Dakwah Kepada Non Muslim

Pendahuluan

Kebelakangan ini menyaksikan bagaimana Islam telah menghadai tohmahan yang tidak sedikit dari masyarakat antarabangsa. Label-label seperti pengganas, kolot, mundur dan sebagainya meniti di bibir-bibir masyarakat dunia khususnya selepas serangan 11 September 2001.

Kejadian serangan kapal terbang ke atas Pusat Dagangan Dunia di Amerika Syarikat itu telah dikaitkan secara tidak adil kepada Islam. Akhirnya menyebabkan Islam tergambar sebagai sebuah agama yang menaja keganasan dan pertempuran. Ini ditambah pula dengan kelahiran filem-filem Hollywood yang memaparkan aktiviti-aktiviti keganasan yang dikaitkan dengan pejuang Islam.


Bila disebut sahaja nama Islam, akan tergambar seolah-olah agama inilah yang menaja serangan bom, serangan berani mati, penculikan, pembunuhan dan juga sabotaj terhadap keamanan dunia. Gambaran-gambaran seperti ini tersebar luas menyebabkan Islam dipandang sinis dan serong. Senario seperti ini juga menggugat kelancaran perjalanan dakwah Islam dan semakin menjauhkan masyarakat non-muslim daripada mendekati Islam.

Justeru, tulisan ini akan cuba merungkai kembali faktor-faktor dan daya penarik yang perlu disuburkan kembali dalam usaha untuk menarik masyarakat non-muslim supaya mendekati seterusnya menghayati Islam. Diharapkan tulisan ini dapat memberikan sumbangan sekalipun kecil ke arah membina semula persepsi positif terhadap Islam, agama yang suci ini.

Islam dan Tanggungjawab Dakwah

Islam merupakan agama yang tertegak dengan dakwah. Secara umumnya dakwah bermaksud panggilan, seruan atau ajakan. Maksud ajakan di sini ialah menyeru manusia mengakui kebesaran Allah Yang Maha Kuasa serta perlunya manusia hidup berlandaskan peraturan yang ditetapkan berteraskan al-Quran dan as-Sunnah. Perkara itu adalah inti pati dakwah bagi membina manusia yang bertakwa kepada Allah dalam erti kata yang sebenar dan seluas-luasnya.

Dalam kehidupan bermasyarakat, khususnya kehidupan umat Islam, dakwah mempunyai kedudukan yang amat penting. Dengan dakwah, dapat disampaikan serta dijelaskan mengenai ajaran Islam kepada masyarakat dan umat sehingga sasaran dapat mengetahui perkara yang benar (haq) atau perkara yang salah (batil).

Peranan dakwah bukan setakat dapat membezakan tetapi dakwah juga dapat mempengaruhi masyarakat untuk menyukai perkara yang baik serta dapat menolak apa saja yang tidak betul yang berlaku dalam masyarakat. Sekiranya ini dapat diwujudkan dalam masyarakat Islam, sudah tentu hasrat kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat dapat dicapai.

Allah SWT  telah menegaskan tanggungjawab dakwah sebagai satu kewajipan yang harus dipikul oleh setiap insan muslim. FirmanNya :

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آَمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ (110)

Yang bermaksud : Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik. (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Menurut al-Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya, ayat di atas menunjukkan hukum dakwah menjadi satu kewajipan yang perlu dilaksanakan dan oleh setiap individu Muslim. (Ibnu Kathir 2001, hal 245)

Syeikh Mustaffa Masyhur dalam bukunya yang berjudul Thariq Fi Ad-Dakwah (Jalan-Jalan Dakwah) menyebut tiga tahap dakwah, iaitu:

a) Taarif (penerangan/pengenalan) – Tahap ini adalah untuk memperkenalkan, menyampaikan idea, gagasan atau untuk menggambarkan kepada khalayak atau sasaran tentang dakwah yang hendak disampaikan.

b) Takwin (pembinaan/pembentukan) – Tahap pembentukan, pembinaan pendakwah dan pemantapan mesej yang disampaikan.

c) Tanfiz (pelaksanaan) – Tahap beramal, berusaha dan melaksanakan dakwah bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan. (Mustaffa Masyhur : 2005, hal 12)

Berdasarkan tiga tahap yang dinyatakan oleh tokoh ilmuwan itu, ternyata dakwah adalah perjalanan yang panjang dan berliku. Untuk itu, petugas dakwah atau individu yang bergerak dalam usaha-usaha dakwah atau organisasi yang melaksanakan kerja dakwah perlu menyiapkan diri atau organisasi masing-masing pada tahap yang maksimum dan bersedia bukan pada tahap ala kadar atau sambil lewa kerana dakwah akan menghadapi pelbagai rintangan dan ujian yang tidak terduga atau kadang-kadang di luar jangkaan manusia.

Dalam situasi masyarakat masa kini yang mengharungi pelbagai cabaran dan dalam era globalisasi, dakwah perlu digerakkan sebagai membimbing manusia ke jalan yang betul. Oleh yang demikian, setiap individu Muslim perlu berganding bahu untuk sama-sama melaksanakan usaha dakwah, menyampaikan ajaran Islam serta memberi kesedaran mengenai ketinggian Islam bagi mewujudkan masyarakat Muslim yang terbaik.

Realiti Non Muslim Pada Hari Ini

Hari ini, masyarakat bukan Islam khususnya di Malaysia kelihatan seolah-olah terasing dari medan dakwah. Walaupun telah tinggal bersama dengan masyarakat Islam, peningkatan bilangan mereka yang memeluk Islam tidaklah merupakan angka yang memberansangkan.

Islam yang syumul dan sempurna tidak menjadi faktor penarik kepada mereka untuk mendekatinya. Situasi yang sama juga berlaku di perkampungan-perkampungan orang asli di mana agama Kristian lebih diterima dan mudah disebarkan berbanding dengan agama Islam.

Kewujudan beberapa instituti yang dibiayai oleh pihak kerajaan mahupun swasta tidak menampakkan kesan yang membanggakan di mana usaha-usaha untuk menarik golongan bukan Islam seoalah-olah tidak mendatangkan hasil. Seandainya diukur dengan perjuangan Rasulullah SAW selama 23 tahun merubah masyarakat arab jahiliyyah kepada umat yang kuat dan bertamadun, maka masa 50 tahun negara mencapai kemerdekaan dilihat terkebelakang dari sudut usaha menyebarkan Islam.

Apakah faktor yang menyebabkan kelesuan dakwah ini? Ia boleh dibahagikan kepada beberapa faktor seperti berikut :

  1. Kelemahan para pendakwah di dalam meperkenalkan Islam
  2. Persepsi negatif terhadap Islam yang tercermin dari penganut-penganutnya
  3. Kesedaran yang rendah di kalangan umat Islam terhadap kewajipan berdakwah DAN
  4. Usaha pihak kerajaan yang dilihat tidak begitu serius untuk menarik masyarakat bukan Islam kepada Islam.

Kelemahan-kelemahan seperti ini perlulah di atasi segera di dalam rangka gerak kerja menarik golongan bukan Islam untuk mendekati Islam. Para pendakwah perlulah segera bertindak memperbaharui tekad dan juga strategi di dalam memasarkan Islam ke tengah masyarakat.

Faktor-faktor Penarik

Membincangkan mengenai faktor-faktor penarik boleh dibahagikan kepada berikut :

  1. Faktor pendakwah
  2. Faktor kerajaan.

1. Faktor Pendakwah

Pendakwah perlulah menyedari bahawa mereka merupakan ejen pemasaran agama  Islam. Hakikat ini tidak boleh dinafikan lagi sama sekali. Masyarakat awam samada Islam atau tidak akan meneropong golongan yang digelar sebagai ’ustaz’, tok lebai, tok guru dan sebagainya untuk mendapatkan cerminan terhadap Islam. Lantas, di antara perkara-perkara yang perlu dititikberatkan oleh para pendakwah di dalam menarik masyarakat  bukan Islam ialah :

1.1    Berkakhlak dengan akhlak yang mulia. Ini kerana sebelum sebarang ucapan yang keluar untuk mengajar individu lain, diri sendiri hendaklah mencerminkan Islam itu sendiri. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa faktor utama yang menyebabkan bukan Islam tidak berminat untuk mendekati Islam ialah kerana kegagalan umat Islam menjadi cermin kepada agama mereka.

Justeru, pendakwah perlulah memperbaiki diri dan jiwa dengan menunjukkan contoh, sifat dan akhlak Islamiyah yang mulia seperti yang dianjurkan kepadanya oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah  s.a.w. Ini kerana akhlak dan moral itu memainkan peranan penting dalam kehidupan individu. Ia berkait rapat dengan segala kegiatan hidupnya, berkaitan dengan sikapnya terhadap kerabatnya, jiran-jirannya dan semua orang yang bergaul, bermuamalah serta berurusan dengan mereka. Perkara yang mesti ada pada seorang pendakwah yang menyeru manusia ke jalan Allah ialah dia mesti bersifat dengan sifat Muslim yang sejati supaya dia menjadi contoh teladan untuk apa yang diseru kepadanya dan dapat merealisasikan Islam dengan perkataan dan amalannya, bukan hanya dengan teori sahaja.

Contoh praktikal itu lebih besar pengaruh dan kesannya di dalam jiwa manusia dari perkataan sahaja. Teladan pendakwah ialah Rasulullah s.a.w. Banyak hadis-hadis Rasulullah yang mendorong kita berakhlak dengan akhlak yang mulia di antaranya:

بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ حُسْنَ الْأَخْلَاقِ

yang bermaksud : “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”. (Riwayat Malik jil 5/386)

Dan sabda baginda lagi:

أَثْقَلَ شَيْءٍ فِي الْمِيزَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْخُلُقُ الْحَسَنُ

“Barang yang paling berat di dalam timbangan pada hari kiamat ialah taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik”. (Riwayat Ahmad, jil 56/32, hadis 26224)

1.2    Sentiasa memberikan penekanan kepada keistimewaan-keistimewaan Islam. Para pendakwah hendaklah mempunyai pengetahuan yang luas dan kemahiran yang mantap di dalam menghadam keistimewaan agama Islam berbanding dengan agama-agama yang lain.  Banyak isu-isu yang boleh diketengahkan sebagai membuktikan bahawa Islam merupakan agama yang istimewa. Antara lain Islam memerintahkan bertauhid dan melarang syirik, memerintahkan bersikap jujur dan melarang berbuat bohong/dusta, memerintahkan berbuat adil dan melarang berbuat zalim, memerintahkan utk bersikap amanat dan melarang khianat, memerintahkan untuk  menepati janji dan melarang ingkar janji, memerintahkan berbakti kepada ibu-bapa serta melarang menyakitinya, memerintahkan bersilaturahmi/menyambung hubungan dgn kaum kerabat serta melarang memutuskannya dan juga prinsip-prinsip akhlak yang lain. (Yusuf al-Qaradawi 2002 : hal 98)

1.3    Menjalin hubungan secara peribadi dengan bukan Islam. Ini ialah dengan cara membuat susunan dakwah yang teratur dan sistematik. Pendakwah perlulah meletakkan sasaran di dalam gerak kerjanya dengan mensasarkan kepada mad’u yang boleh diajak. Ia tidak boleh terhenti dengan hanya sekadar ceramah, kuliah dan tazkirah. Ia perlulah diteruskan sehingga ke peringkat menziarahi, bertanya khabar, menghulurkan bantuan dan nasihat serta melibatkan mereka dengan aktiviti-aktiviti sosial masyarakat Islam. Selain itu, gerak kerja selepas mereka memeluk Islam juga tidak boleh diabaikan. Terdapat beberapa kajian menunjukkan bahawa faktor terbesar yang menjadikan orang-orang asli di perkampungan-perkampungan mereka kembali kepada agama yang asal atau memeluk Kristian ialah kerana kegagalan agensi dakwah membuat langkah susulan selepas mereka memeluk Islam.

2. Faktor kerajaan

Selain itu juga, pihak kerajaan hendaklah menunjukkan usaha-usaha yaang serius di dalam  menarik masyarakat bukan Islam untuk menghayati Islam. Di antara langkah-lanngkah proaktif yang boleh dilakukan ialah :

2.1              Memberikan bantuan dari sudut kewangan kepada muallaf

Isu kewangan merupakan isu yang penting di dalam kehidupan seorang muallaf. Situasi mereka yang sedang menempuh alam baru, suasana dan kehidupan yang baru perlulah dibantu dengan sokongan moral dan yang paling penting ialah bantuan kewangan. Terdapat di kalangan mereka yang kehilangan sokongan ahli keluarga dan juga rakan-rakan asal yang akhirnya meninggalkan mereka keseorangan. Pada masa tersebut, bantuan dari pihak-pihak yang berkenaan sangatlah diharapkan. Ini bukanlah bermaksud bantuan ini perlu disalurkan hingga ke akhir hayat, cukuplah sekadar memberikan mereka bantuan untuk mengasaskan perniagaan dan sebagainya.

2.2              Meningkatkan kempen dan usaha penerangan. Kempen-kempen bagi memberikan gambaran sebenar tentang Islam perlulah sentiasa diperhebatkan dari masa ke semasa. Saluran-saluran media cetak dan eletronik hendaklah menjadi suara rasmi kerajaan dalam menyebarkan fahaman Islam kepada masyarakat bukan Islam. Program-program bersifat keagamaan hendaklah tidak terlalu fokus kepada isu-isu yang berat bahkan sepatutnya lebih menjurus kepada kefahaman-kefahaman asas tentang Islam. Tidak kurang juga filem, iklan dan drama berkenaan kehebatan dan kebaikan Islam hendaklah diperhebatkan laagi dengan pemberian geran  dan inisiatif kepada produser dan pihak yang terlibat.

2.3              Memperkasakan gerakan dakwah dengan memberikan galakan samada dari sudut kewangan atau anugerah-anugerah kepada tokoh-tokoh dakwah yang berperanan menggerakkan dakwah di tengah-tengah masyarakat bukan Islam khususnya di perkampungan-perkampungan orang asli. Ini dianggap penting kerana kebanyakan individu yang terlibat dengan gerakan dakwah di perkampungan-perkampung orang asli bertindak di atas inisiatif peribadi tanpa bantuan dari mana-mana sumber kerajaan.

Penutup

Sebenarnya, masih banyak lagi faktor-faktor yang boleh diulas serta dihuraikan berkenaan dengan usaha untuk menarik masyarakat non muslim untuk menghayati dan mendekati Islam. Namun, untuk dimuatkan di dalam penulisan ringkas ini, kami berpendapat apa yang telah ditulis sudah cukup menjadi satu momentum kepada anjakan baru di dalam usaha dakwah yang lebih serius di negara kita.

Haruslah diingat bahawa Islam ini tidak akan sampai kepada kita jika tidak dengan usaha dakwah, maka hendaklah kita menyampaikannya pula kepada orang lain juga melalui usaha dakwah.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah,
KIAS, Nilam Puri, Kelantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Why ask?