Hukum Melakukan Ibadah Korban
2009

Saya ditanya satu soalan : “Ustaz, benarkah saya mendengar bahawa melakukan ibadah korban itu wajib? Jika tidak melakukannya, maka dilarang oleh Nabi Muhammad SAW untuk memasuki masjid?”
Untuk soalan tersebut, saya perturunkan jawapannya :
Secara umumnya, hukum korban menurut pandangan ulama ialah dua :
- Wajib mengikut pandangan al-Auza’ie, al-Laith, Abu Hanifah dan juga satu riwayat dari Imam Ahmad. Mereka berhujah dengan hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad, Ibnu Majah, al-Durqutni dan al-Hakim yang bermaksud : “Sesiapa yang mempunyai kelapangan dan tidak berkorban, maka jangan mendekati musalla kami,”
- Sunnah Muakkadah, ini ialah pandangan jumhur para ulama. Mereka berhujah dengan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud : “Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang daripada kamu ingin berkorban, maka tahanlah (dari memotong) rambut dan kukunya.” Hadith ini menunjukkan satu pilihan dari Rasulullah SAW untuk berkorban dan bukannya satu suruhan. Dalam erti kata lain, ia bukanlah satu kewajipan bahkan terpulanglah kepada seseorang untuk berkorban atau tidak.
Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh al-Hakim, Rasululllah SAW pernah bersabda, “Tiga perkara yang wajib ke atasku dan kepadamu menjadi tatawwu’ (sunat), korban, solat witir dan solat dhuha.”
Juga disebut bahawa Abu Bakar al-Siddiq dan Umar a-Khattab radhiallahuanhuma tidak melakukan ibadah korban kerana dibimbangi akan disangka sebagai ibadah yang wajib. Ini boleh dirujuk di dalam Ma’rifat al-Sunan wa al-Athar oleh Imam Baihaqi (384-458 H).
Oleh yang demikian, amatlah digalakkan kepada mana-mana individu muslim untuk melakukan ibadah korban sekalipun ia bukanlah amalan yang wajib tetapi tetap merupakan sunnah muakkadah yang dituntut.
wallahu’a'lam.
2 comments
Trackback e pingback
No trackback or pingback available for this article












Tahun ni kalau buat korban di Kemboja berapa ratus Ustaz, cadangnya nak korban di sanalah… ada Program Anjuran Pemuda Kelantan tak?
Atau buat korban di Kampung Orang Asli di Gua Musang..ana lebih prefer yang itu..kalau ada yang di kampug orang Asli..inform dan iklankan..ana nak join insya Allah
kalau kg orang asli ana x tau man.. kalau di Kemboja rm250 je satu bahagian. ada kengkawan kita nak pergi kemboja raya ni. bolehlah kalau nak korban juga.