Apabila memasuki bulan Zulhijjah, menjadi satu tuntutan kepada setiap yang bernama muslim untuk melipatgandakan amalannya kerana sesungguhnya 10 hari pertama di bulan zulhijjah merupakan saat yang dilipatgandakan pahala oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran :
وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (2) Yang bermaksud : Demi fajar Dan malam yang sepuluh (Surah al-Fajr, ayat 1 & 2) Al-Imam Ibnu Kathir semasa menafsirkan ayat di atas menyatakan bahawa malam yang sepuluh itu ialah 10 malam pertama di bulan Zulhijjah. Demikianlah juga menurut beliau bahawa pandangan tersebut turut dinyatakan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan kebanyakan ulama salaf. Ini membuktikan betapa besarnya kemuliaan 10 hari yang pertama di bulan Zulhijjah. Rasulullah SAW turut menukilkan kemuliaan amalan di dalam tempoh ini di dalam sabdanya :
مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ قَالُوا وَلَا الْجِهَادُ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ Yang bermaksud : Tidak ada amalan di hari-hari yang lebih utama dari amalan pada hari-hari ini (10 hari pertama bulan zulhijjah), lalu sahabat-sahabat bertanya : Adakah begitu juga jika dibandingkan dengan jihad? Rasulullah SAW menjawab : Ya, jika dibandingkan dengan jihad sekalipun. Melainkan seseorang yang keluar menggadai dirinya dan hartanya lalu tidak pulang selama-lamanya (mati syahid) – Riyawat Bukhari, Abu Daud dan Tirmizi. Oleh yang demikian, marilah kita meninjau apakah amalan-amalan yang sangat dianjurkan oleh Rasulullah SAW apabila memasuki bulan Zulhijjah.
صيام يوم عرفة، أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله. والسنة التي بعده Yang bermaksud : “Puasa Arafah, saya mengharapkan kepada Allah agar mengampuni dosa setahun sebelumnya dan setahun setelahnya…” (HR Muslim)
إِذَا رَأَيْتُمْ هِلَالَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ Yang bermaksud : Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang daripada kamu ingin mengerjakan korban, maka tahanlah dari (memotong) rambutnya dan kukunya. – HR Muslim
من كان له سعة ولم يضح فلا يقربن مصلانا Yang bermaksud : “Barangsiapa yang memiliki kelapangan (harta) namun tidak mahu berkorban, maka janganlah dia sekali-kali mendekati tempat sholât kami.” (Shahîh Ibnu Mâjah (no. 2532). Inilah di antara sunnah-sunnah yang diperintahkan kepada kaum muslimin untuk mengerjakannya sepanjang berada di dalam tempoh 10 hari pertama bulan Zulhijjah ini. Selain itu, adalah digalakkan untuk turut memperbanyakkan amalan-amalan yang lain seperti bersedekah, solat berjemaah, membaca al-Quran dan sebagainya sebagai mengambil kesempatan masa keemasan di dalam tempoh ini. Semoga kita digolongkan di kalangan hamba-hamba Allah yang sentiasa berkejar-kejar untuk melakukan kebaikan, insya-Allah.











