Instituti Masjid Dan Peranan Pendakwah Terhadapnya

Pendahuluan

Persepsi sesetengah individu Islam di negara ini terhadap institusi masjid agak terbatas. Pada mereka fungsi masjid hanyalah sebagai tempat ibadat semata-mata. Semua urusan ibadat perlu disempurnakan di masjid sedangkan perancangan dan kegiatan hidup yang lain difikirkan tidak wajar dibereskan di tempat itu.

Kecenderungan pemikiran sedemikian mempunyai implikasi bukan sahaja terhadap masjid sebagai satu institusi unggul dalam Islam, malah dalam menentukan maju mundur ummah. Budaya yang menganggap masjid hanya sebagai tempat menunaikan solat perlu dikikis dengan segera dan masyarakat perlu ditanam dengan semangat baru bagi mencari erti sebenar pembinaan sebuah masjid. Usaha-usaha juga perlu dijalankan bagi menarik masyarakat Islam untuk mengunjungi masjid-masjid.

Masyarakat perlu memahami bahawa masjid adalah rumah Allah yang suci, yang mempunyai taraf dan kedudukan paling istimewa di sisi Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Masjid sebagai pusat ibadat, pusat pengembangan ilmu dan penyebaran dakwah Islamiah, di samping menjadi pusat kebajikan dan perpaduan umat Islam setempat.

Masjid adalah tempat ibadah kaum muslimin yang memiliki peranan yang sangat  strategik untuk kemajuan peradaban umat Islam. Sejarah telah membuktikan multi fungsi peranan mesjid di dalam masyarakat Islam. Masjid bukan saja tempat solat, tetapi juga sebagai pusat pendidikan, pengajian keagamaan, pendidikan, ketenteraan dan fungsi-fungsi  sosial-ekonomi lainnya. Rasulullah SAW pun telah menunjukkan contoh yang terbaik di dalam memaksimakan multifungsi masjid Nabawi dalam membina dan mengurus seluruh kepentingan umat, baik di dalam bidang ekonomi, politik, sosial, pendidikan, ketenteraan dan sebagainya.

Kelebihan Masjid

Islam sangat menggalakkan pembinaan masjid dan mengimarahkannya, Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda :

مَنْ بَنَى مَسْجِدًا يَبْتَغِي بِهِ وَجْهَ اللَّهِ بَنَى اللَّهُ لَهُ مِثْلَهُ فِي الْجَنَّةِ

yang bermaksud:

“Sesiapa yang membina sesebuah masjid kerana menuntut keredhaan Allah S.W.T., Allah akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga”. (Riwayat Bukhari)

Allah telah menjadikan masjid tempat yang mulia di sisi-Nya, ianya juga terkenal dengan nama “Baitul Allah”.

Dalam hal ini baginda Rasulullah (s.a.w.) bersabda :

أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ مَسَاجِدُهَا وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ أَسْوَاقُهَا

“Tempat yang paling disukai oleh Allah di sesebuah negeri itu ialah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah di sesebuah negeri itu ialah pasar-pasarnya”. (Riwayat Muslim)

Di dalam hadith yang lain, dalam memperlihatkan kelebihan masjid Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمْ الرَّجُلَ يَتَعَاهَدُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

“Apabila kamu melihat seseorang lelaki yang berulang-alik ke masjid maka saksikanlah baginya dengan keimanan”. (Hadis riwayat Tirmizi)

Selain daripada itu, Rasulullah (s.a.w.) juga menegaskan tentang kelebihan masjid kepada umat Islam iaitu antara manusia yang mendapat perlindungan Allah pada hari Qiamat ialah individu yang hatinya sentiasa ingat kepada masjid.

Fungsi Masjid Pada Zaman Rasulullah S.A.W.

Islam bermaksud selamat. Masjid sebagai syiar yang penting di dalam Islam tentunya membawa mesej Islam itu sendiri ke tengah masyarakat. Kehadiran masjid menjadikan bukan sahaja dirinya sebagai zon keselamatan bahkan masyarakat sendiri berada di dalam zon salamah dengan mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Ia telah dibuktikan pada zaman baginda Rasulullah SAW yang telah memperlihatkan masjid sebagai pusat membawa hidayah dan salamah kepada manusia.

Setelah Rasulullah (s.a.w.) berhijrah ke Kota Madinah, baginda telah membina masjid Quba’, yang menjadi masjid pertama pada zaman awal perkembangan agama Islam. Jika diperhatikan walaupun hanya beberapa hari Rasulullah (s.a.w.) berada di Quba’, dalam perjalanan baginda ke Madinah, baginda telah berusaha membina masjid.

Sekiranya masjid itu dibina hanya semata-mata untuk dijadikan tempat sembahyang maka sudah tentu ia tidak memerlukan pembinaan yang segera, tetapi oleh kerana Rasulullah (s.a.w.) melihat masjid memberikan pengertian yang lebih besar maka Rasulullah (s.a.w.) memberi keutamaan kepadanya.

Masjid adalah lambang syiar Islam dan kedaulatannya, ia merupakan pusat yang menghubungkan antara hamba dengan Penciptanya. Pembinaannya menunjukkan masjid mempunyai peranan yang besar dan agung bagi umat Islam dan sebagai pusat perkembangan agama mereka.

Kita lihat setelah baginda Rasulullah (s.a.w.) tiba di Madinah, baginda telah mengambil beberapa langkah yang berkesan untuk mewujudkan perpaduan yang kukuh di kalangan penduduk Islam di Madinah. Antara langkah-langkah segera yang diambil oleh Rasulullah (s.a.w.) ialah mendirikan masjid (yang terkenal dengan nama “Masjid Nabawi”) dan bermula dari sinilah terpancarnya cahaya Islam, pancaran ilmu, keharmonian ihsan dan ketinggian akhlak umat Islam di seluruh pelosok dunia. Di samping itu baginda telah menjadikan masjid sebagai pusat ibadat, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan keadilan, markas tentera dan pertahanan, pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia.

Kita boleh menyatakan bahawa fungsi masjid ketika itu amat besar dan ketara sekali. Ia melambangkan paduan dalam urusan dunia dan akhirat. Kesempurnaan Islam sebagai ad-Din telah berjaya digambarkan oleh Rasulullah (s.a.w.) melalui peranan dan fungsi masjid ini.

Dari fakta sejarah tersebut dapatlah disimpulkan bahawa masjid di masa awal Islam telah menjadi sebagai

(1)        pusat ibadah

(2)        pusat pendidikan dan pengajaran,

(3)        pusat penyelesaian permasalahan umat dalam aspek hukum (peradilan)

(4)        pusat penjanaan ekonomi umat melalui Baitul Mal.

(5)        pusat informasi Islam,

(6)        Pernah menjadi sebagai pusat latihan tentera

Ringkasnya, pada zaman Rasulullah, masjid dijadikan sebagai pusat peradaban Islam. Manakala individu-individu yang mengimarahkan masjid dipuji oleh Allah SWT sebagai golongan yang menyucikan diri mereka dari najis zahir dan najis batin (dosa). Firman Allah SWT :

لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Yang bermaksud : Kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). (Surah al-Taubah, ayat 108)

Keadaan Masjid Pada Hari Ini

Secara umum, apabila kita menyebut perkataan masjid, maka terbayanglah di fikiran kita bahawa ianya adalah tempat umat Islam bersembahyang berjemaah dan berjumaat, diadakan kelas-kelas fardhu ain, ceramah dan syarahan agama terutama ketika sempena perayaan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul, Ma’al hijrah dan sebagainya.

Terbayang juga di fikiran kita bahawa kebanyakan masjid seluruh negara ini merupakan bangunan indah tersergam, alat-alat dan kelengkapan pada umumnya mencukupi dan sempurna, ia dihampar permaidani yang indah, dihiasi ukiran ayat-ayat al-Quran dan hadith Rasulullah (s.a.w.) di dalamnya, namun bangunan yang tersergam indah ini serta kemudahan yang wujud itu seolah-olah tidak sempurna, kosong, tidak bersemangat dan kurang berfungsi.

Ternyatalah masjid di negara ini indah tetapi kurang dimanfaatkan. Ia tidak diimarahkan dengan sewajarnya. Ia lebih merupakan lambang kemegahan yang membayangkan status kedudukan agama Islam dari segi tempat, bangunan dan kelengkapan bukan dari segi pengisian dan penghayatan sedangkan kedua-dua aspek ini menjadi matlamat utama pembinaannya. Kejayaan sesebuah masjid bergantung kepada sejauh mana peranan dan fungsinya dijalankan. Demikianlah perbandingan fungsi dan peranan masjid yang wujud pada zaman Rasulullah (s.a.w) dengan masjid  yang wujud pada masa ini. Perbezaan yang terdapat antara kedua-duanya memerlukan kita berfikir dan bertindak untuk mengimarahkan semula masjid-masjid berdasarkan tuntutan Islam serta bertepatan pula dengan peranan dan fungsi masjid yang sebenar.

Peranan Pendakwah Dalam Mengembalikan Kekuatan Instituti Masjid

Di dalam menyegarkan kembali instituti masjid agar kembali dapat berfungsi sebagaimana sepatutnya di tengah masyarakat, semua pihak yang bertaggungjawab samada secara langsung atau tidak perlu meghulurkan kerjasama. Bermula dari pihak kerajaan, jabatan agama,  para pendakwah, masyarakat setempat sehinggalah kepada golongan ibubapa mempunyai peranan dan tugas masing-masing yang boleh dilaksanakan. Bagaimanapun tulisan ini cuba untuk memberikan fokus kepada peranan yang boleh dimainkan oleh seorang pendakwah dalam usaha memberikan nafas baru kepada instituti masjid. Tentunya di dalam menyebut tugas dakwah, ia  tidak dapat lari dari panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT di dalam firmanNya :

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

yang bermaksud : Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; (Surah an-Nahl, ayat 125)

Di dalam usaha untuk mengembalikan fungsi masjid agar dapat ‘hidup’ di tengah-tengah masyarakat khususnya umat Islam, para pendakwah hendaklah mengambil pendekatan-pendekatan berikut :

  1. Menjadikan masjid sebagai tempat yang mesra masyarakat dengan menjadikan program-program berbentuk kemasyarakatan berpusat di masjid. Ia meliputi aktiviti-aktiviti berbentuk keagamaan seperti biasanya diamalkan atau berbentuk kebajikan seperti majlis penyampaian bantuan dan sebagainya.
  2. Menghidupkan masjid dengan aktiviti-aktiviti ceramah yang tidak terlalu menyerang sebahagian anggota masyarakat atas apa jua isu. Perlulah diingatkan, sekalipun apa yang disebut itu benar, tetapi jika tidak kena dengan caranya, ia tidak mendekatkan masyarakat kepada masjid malah menjauhkannya.
  3. Ziarah ke rumah anggota masyarakat yang agak renggang dengan masjid juga perlulah dilakukan dari  masa ke semasa dalam usaha mendekatkan mereka denga masjid. Cenderamata dan hadiah yang dibawa walaupun tidak sebesar mana nilainya tetapi mempunyai kesan yang besar di dalam jiwa jika diberikan dengan niat dan hati yang  ikhlas.
  4. Menjadikan masjid sebagai pusat belajar al-quran dan tafsirnya (ulum al-quran). Kebanyakan masjid telah digunakan sebagai pusat pembelajaran Al-Quran. Amalan ini haruslah diteruskan tetapi ada baiknya jika ditambah dengan bukan sahaja setakat mengajar Al-Quran kepada anak-anak, tetapi juga menerangkan maknanya atau diberi tafsiran Al-Quran kepada mereka supaya sendiri membaca dan memahami ayat-ayat suci.
  5. Berikhtiar untuk menjadikan masjid sebagai nadi ekonomi dalam masyarakat setempat. Sekiranya masjid terletak di dalam kawasan yang luas, ia boleh dikelilingi dengan aktiviti ekonomi dan sosial. Kedai adalah merupakan aktiviti ekonomi yang digalakkan oleh Islam.Oleh itu, masjid haruslah mempunyai kedai atau bazar yang menjual beraneka keperluan masyarakat.Selain dari itu, kedai cenderamata yang menjual artifak yang ada hubungannya dengan mukim.
  6. Melengkapkan masjid dengan taman juga merupakan satu idea yang baik. Ia membolehkan para jemaah mendapat udara yang bersih sebelum atau selepas sembahyang. Konsep itu belum nampak dilakukan di negeri ini mungkin kerana ketiadaan tanah atau kebanyakan masjid terletak di kawasan sempit.
  7. Menjadikan masjid sebagai pusat percambahan ilmu kepada segenap lapisan masyarakat. Di dalam hal ini, masjid haruslah mempunyai perpustakaan yang lengkap bukan sahaja membekalkan buku-buku agama , tetapi juga buku yang berkaitan dengan ibadah dan muamalah.Begitu juga buku mengenai ilmu sosial, ekonomi, politik dan sebagainya haruslah diletakkan di dalam perpustakaan masjid.Buku-buku ini boleh didapati secara mudah dan murah sekiranya ahli jawatankuasa masjid itu sanggup meminta dari badan-badan tertentu seperti Dewan bahasa dan pustaka, syarikat percetakan dan sebagainya. Selain dari itu, Jawatankuasa Kariah juga boleh memohon derma dalam bentuk buku daripada penduduk mukim atau daerah berkenaan.

Penutup

Tulisan ini hanyalah merupakan sebahagian kecil dari maklumat sebenar berkaitan dengan masjid serta peranan pendakwah dalam menghidupkannya. Di sana boleh didapati pelbagai lagi peranan masjid dan juga saranan kepada para pendakwah samada daripada nas-nas al-Quran, al-Hadith mahupun dari kata-kata para ulama yang dimuatkan di dalam kitab masing-masing.

Bagaimanapun, kita mengharapkan agar dengan sumbangan ini, kita akan berjaya melihat dengan lebih jelas peranan yang perlu dimainkan oleh para petugas Islam khususnya para pendakwah di dalam mengimarahkan masjid sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Susunan :

Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari,

Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah,

Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS),

Nilam Puri, Kelantan

28 Jun 2009

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Why ask?