Cahaya Di Hujung Terowong…?

Nov
2008
01

posted by on Peribadi

13 comments

Muhibbuddin (kanan) dan adiknya Mujiburrahman (kiri)

 

Jarang sekali saya mahu membuat catatan berbentuk peribadi di dalam blog ini. Bukannya tidak ingin berkongsi, tetapi saya kurang gemar untuk mendedahkan perkara-perkara berkaitan dengan kehidupan peribadi ke seluruh dunia melalui ruang blog ini.

 

Namun, hari ini saya ingin berkongsi sesuatu dengan pembaca sekalian. Ini berikutan diagnosis terhadap anak sulung saya, Muhibbuddin –kami memanggilnya Muhib- yang disahkan menghidap autisme – sejenis sindrom ketidakpupayaan yang wujud semenjak lahir pada diri seseorang. Tentunya sebagai seorang bapa yang mengharapkan perjuangannya diwarisi oleh anak-anak, perasaan hampa tidak dapat tidak menghantui diri saya. Apatah lagi isteri saya yang merupakan ibunya, mengandung dan melahirkan anak itu, tentunya lebih berat bebanan yang diterima.

 

Bagaimanapun, hakikat perlu juga diterima. Inilah ujian daripada Allah SWT. Hanya Dialah yang mengetahui betapa sukarnya untuk menjaga seorang anak yang menghidap sindrom ini. Walaupun umurnya sudah mencecah 3 tahun, namun masih belum mampu untuk mengungkapkan walaupun sepatah katapun. Muhib gemar bermain dengan dunianya sendiri. Suka menyusun barang dan melihatnya dari pelbagai sudut. Pengurusan tandas masih belum dapat dikuasai berbeza dengan sepupu-sepupunya yang sebaya dan lebih muda daripadapnya. Jika berada bersama dengan rakan-rakan sebaya, jarang sekali Muhib dapat bermain bersama sebagaimana kanak-kanak yang lain. Dia lebih gemar menyendiri dan bermain dengan caranya sendiri.

 

Semuanya ialah satu bebanan bagi ibubapa. Apatah lagi dengan tidur malamnya yang lewat. Tidurnya pula pantang terganggu, Muhib akan menangis dengan kuat. Dalam soal makan juga menambah lagi kepeningan apabila Muhib sukar untuk berselera secara normal. Dia hilang selera terhadap makanan seperti nasi, mee dan sebagainya. Apa yang diminati hanyalah minuman yogurt dan kalsium serta gula-gula. Kadang-kadang sampai ke peringkat memaksa untuk makan.

 

Sekarang, Muhib menjalani rawatan terapi OT (occupation therapy) dan speech di HUSM, Kubang Kerian. Dengan kekerapan dua kali seminggu, terpaksalah kami bergilir-gilir membawanya ke sana di tengah-tengah kesibukan kerja. Walaupun menurut doktor, sindrom autism ini tidak akan dapat dirawat selama-lamanya, saya optimis terhadap jalan penyelesaian yang pastinya akan muncul jua.

 

Minggu lepas, selepas membaca satu artikel di dalam akhbar, saya menjumpai satu laman web http://www.bcro-stemcells.com/ yang memperkenalkan rawatan terhadap pelbagai jenis penyakit dengan menggunakan stem sel daripada arnab. Mengikut apa yang didakwa oleh pihak ini, autism ialah salah satu penyakit yang dapat dirawat menggunakan kaedah ini. Bila saya bertanya mengenai kos, untuk satu suntikan sahaja ia menelan belanja sebanyak RM27,000.00! Kebiasaannya untuk membuat rawatan autism, ibubapa dicadangkan mengambil pakej tiga suntikan dengan kos RM70,000.00.

 

Mahal.. memang terlampau mahal. Tetapi kalau benar ia merupakan kaedah yang menyembuhkan, saya kira apa salahnya jika kita berikhtiar. Walaupun untuk mendapatkan wang sebanyak itu satu perkara yang memeningkan, namun untuk masa depan anak yang Allah SWT anugerahkan, saya kira ia berbaloi. Buat masa ini, saya tidak memikirkan soal kos, apa yang lebih penting, logikkan kaedah ini boleh menyembutkan autism?

 

Benarkah ia boleh merawat penyakit autism? Saya membuat posting ini untuk berkongsi pengalaman dengan para pembaca sekiranya mempunyai pandangan mengenai kaedah ini. Atau jika para pembaca pernah berdepan dengan kaedah rawatan penyakit autism, saya benar-benar berharap agar dapat diberikan pandangan yang sewajarnya.

 

Saya tidak mahu masa berlalu seterusnya Muhib semakin membesar dengan sindrom ini. Hari ini dia berumur 3 tahun, selepas ini dia akan meningkat remaja dan dewasa. Biarlah   sindrom ini dirawat lebih awal. Para pembaca yang mempunyai pengalaman, saya pohon dapat memberikan pandangan. Atau sekurang-kurangnya mengirimkan doa. Kerana doa seorang saudara kepada saudara seislamnya yang lain tanpa saudara tersebut mengetahui ialah di antara doa yang mudah dimakbulkan oleh Allah SWT.

 

Di antara laman web yang memperkatakan mengenai kaedah ini :

http://www.stem-cell-transplantation.com/how_to_get_stem_cell_therapy.html

www.bcro-asia.com/home.html

 

01 November 2008

13 comments

  1. zaidjaffar
  2. ahmadfadhli
  3. student ust
  4. retiredLoyar
  5. Hidayati & Zainudin
  6. ahmadfadhli
  7. retiredLoyar
  8. kak ngah
  9. waseem's dad

Trackback e pingback

No trackback or pingback available for this article

Leave a Reply

Why ask?