Keyakinan UMNO Rampas Kelantan : Presiden UMNO Dicabar Bertanding di Kelantan

Categorized Under: Isu Semasa No Commented
  1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) tidak melihat sebarang perkembangan luar biasa di sebalik keyakinan UMNO untuk merampas balik Kelantan daripada penguasaan PAS di dalam pilihanraya umum yang akan datang sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein. Kenyataan beliau itu dilaporkan di halaman 3, akhbar Utusan Malaysia hari ini 25 Januari 2012. Bagi pihak DPPNK, keyakinan sebegini adalah perkara lumrah dan bukanlah kali pertama disuarakan oleh pimpinan UMNO samada di peringkat pusat mahupun negeri Kelantan.
  2. Untuk rekod, sukalah DPPNK mengingatkan bahawa di dalam pilihanraya umum 2008, UMNO Kelantan di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa juga menyuarakan keyakinan yang sama bahkan lebih hebat lagi telah mengisytiharkan bakal Menteri Besar Kelantan iaitu Datuk Dr. Awang Adek sendiri yang pada hari ini sedang berdepan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa menerima sejumlah deposit wang yang meragukan ke dalam akaun peribadi milik beliau.
  3. Bagaimanapun, keyakinan UMNO Kelantan pada masa itu hancur berkecai apabila Awang Adek tewas di kedua-dua buah kerusi yang ditandingi iaitu DUN Perupok dan Parlimen Bachok manakala UMNO pula tewas di sebahagian besar kerusi yang ditandingi dan hanya mengekalkan enam kerusi di Dewan Undangan Negeri Kelantan.
  4. Demikian juga dengan pilihanraya umum 1995, 1999 dan 2004, setiap kali menjelang pilihanraya umum pasti akan sentiasa keluar kenyataan pimpinan UMNO yang yakin dapat merampas Kelantan. Dalam keyakinan itulah, Kelantan terus kekal di bawah penguasaan PAS semenjak tahun 1990 sehingga ke hari ini.
  5. Justeru, apabila keyakinan ini diulangi sempena lawatan Presiden UMNO ke Kelantan dua hari lepas, DPPNK melihat ia sebagai satu perkembangan yang biasa. Bahkan DPPNK mempelawa Presiden UMNO untuk bertanding di mana-mana parlimen di negeri Kelantan yang telah disifatkan oleh beliau sebagai ‘winnable state’.
  6. Dengan perkembangan krisis dalaman UMNO di peringkat negeri Kelantan serta di peringkat pusat ditambah sambutan rakyat terhadap Pakatan Rakyat akhir-akhir ini, DPPNK yakin insya-allah, bukan sahaja Kelantan gagal ditawan oleh UNMO bahkan Putrajaya sekalipun akan bertukar tangan daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 25 Januari 2012

Penghapusan PTPTN Jika Royalti Dikembalikan : DPPNK Menyokong Penuh

Categorized Under: Isu Semasa No Commented

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyokong penuh pengumuman yang dibuat oleh ahli exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Haji Husam bin Musa yang menyatakan bahawa kerajaan negeri akan menghapuskan hutang yang ditanggung warganya daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya bayaran royalti minyak dikembalikan. Pengumuman itu dilakukan ketika beliau membentangkan kertas kerja di Konvensyen Pakatan Rakyat kali ketiga di Alor Setar, Kedah pada 14 Januari 2012.

2. Bagi pihak DPPNK, pengumuman ini merupakan satu langkah yang amat tepat pada saat golongan siswazah yang baru menghabiskan pengajian di universiti sedang bergelut dengan pelbagai persaingan untuk mendapatkan kerjaya di perlbagai bidang. Hari ini, dengan bebanan hutang ditanggung daripada PTPTN termasuk caj pengurusannya, siswazah akan berdepan kemelut kewangan yang serius. Justeru, DPPNK juga memohon agar tindakan mendakwa pelajar-pelajar yang gagal menjelaskan hutang PTPTN perlulah dikaji semula memandangkan kes penggangguran dan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat.

3. Sewajarnya dengan keuntungan Petronas yang berjumlah berbillion banyaknya, ia mampu digunakan untuk menyediakan pendidikan percuma untuk semua warga mahasiswa, namun kerana pengurusan kewangan yang diselubungi oleh pelbagai penyalahgunaan, bebanan ini terpaksa ditanggung oleh golongan muda yang sebahagiannya datang dari keluarga yang berpendapatan rendah.

4. Di pihak kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO / Barisan Nasional pula, pelbagai kes rasuah dan penyelewengan yang berlaku melibatkan ratusan juta ringgit wang rakyat sekaligus mengenepikan hak rakyat bawahan untuk menikmati pelbagai kemudahan sebagaimana sewajarnya.

YB ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN,

Ketua,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 15 Januari 2012

Filem Pendek Menjawab Kekeliruan Tentang Hukum Hudud

Categorized Under: Isu Semasa No Commented

Menjawab kekeliruan tentang hukum hudud

Desakan MB Kelantan Berundur : UMNO Kelantan Memualkan

Categorized Under: Isu Semasa No Commented

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) ingin memberikan respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Perwakilan Umno Kelantan, Mohd Afandi Yusoff di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011 hari ini yang sekali lagi menggesa agar Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz berundur dan memberikan laluan kepada pemimpin lain selepas 21 tahun mentadbir negeri Kelantan.

DPPNK menyifatkan kenyataan Afandi itu sebagai satu kenyataan memualkan dan hilang arah serta menampakkan kegerunan UMNO Kelantan untuk berhadapan dengan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Amat jelas keyakinan mereka bahawa susuk tubuh Menteri Besar Kelantan itu menjadi antara penghalang terbesar mereka untuk merampas kembali Kelantan.

DPPNK ingin bertanya kepada perwakilan UMNO Kelantan ini, atas dasar apakah Menteri Besar Kelantan diminta berundur? Jika atas faktor umur, tidakkah mereka yang terpalit dengan rasuah dan penyelewengan serta jauh lebih muda dari Nik Aziz lebih layak untuk berundur? Tidakkah Mohd Afandi membaca Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mengesahkan pelbagai ketirisan dalam perbelanjaan duit kerajaan yang berlaku di bawah pentadbiran individu yang lebih muda?

DPPNK mencabar Afandi agar mendatangkan bukti-bukti penyelewengan yang berlaku di Kelantan sepanjang 21 tahun pentadbiran Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar. Tindakan Afandi Yusof membandingkan dengan Tun Mahathir Muhammad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah berundur membayangkan kejahilannya terhadap sejarah UMNO sendiri. Barangkali Afandi tidak sedar bahawa kedua-dua mereka berundur bukan atas desakan pembangkang tetapi atas desakan dalaman UMNO sendiri setelah mereka gagal menunjukkan prestasi baik dalam pilihanraya. Tun Mahathir berundur setelah sokongan Melayu kepada UMNO merosot dalam pilihanraya umum 1999 dan Tun Abdullah berundur setelah Barisan Nasional gagal mendapat dua pertiga majoriti di dalam parlimen dalam pilihanraya umum 2008.

Adapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz, semakin disayangi dan disanjungi oleh rakyat Kelantan berbanding dengan Afandi sendiri yang pernah kalah kepada seorang calon wanita di dalam pilihanraya umum 2008 untuk kerusi parlimen Rantau Panjang. Sewajarnya Afandi sendiri bermuhasabah bahawa dirinya sangat kerdil jika dibandingkan dengan Menteri Besar Kelantan yang sering dicabarnya untuk berdebat. DPPNK sedar bahawa ini bukan kali pertama kenyataan sebegini dikeluarkan oleh Afandi. Bahkan pada bulan Jun 2009, Afandi pernah mencabar Menteri Besar Kelantan melepasi saringan debat dengan Pemuda UMNO terlebih dahulu sebelum berdebat dengan Perdana Menteri.

Justeru, DPPNK berpandangan desakan UMNO Kelantan tidak perlu dilayan oleh kepimpinan kerajaan negeri Kelantan. Apa yang perlu ialah meneruskan fokus ke arah membangunkan negeri Kelantan di bawah payung syariat. Adapun desakan UMNO Kelantan itu tidaklah ubah seperti jurulatih pasukan bola sepak sebelah lawan yang merayu-rayu agar dibuang pemain penyerang utama sebelah sini yang dibimbangi akan menjaringkan gol setelah mereka sendiri pun terkial-kial untuk mencari penjaga gol!

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 3 Disember 2011

Rang Undang-undang Perhimpunan Aman : Tindakan Terdesak UMNO Hadapi Kebangkitan Rakyat

Categorized Under: Foto No Commented

1. Saya menyifatkan tindakan kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 November 2011 yang lalu membentangkan rang undang-undang perhimpunan aman dan diluluskan pada hari ini sebagai satu tindakan yang terdesak dalam menghadapi kebangkitan rakyat yang semakin menolak UMNO dan Barisan Nasional. Tindakan ini sebenarnya merupakan satu tindakan mundur ke belakang yang diambil oleh sebuah negara yang kononnya mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

2. Hakikatnya rang undang-undang yang diluluskan ini lebih teruk dari undang-undang yang sedia ada seperti Syeksen 27 Akta Polis. Di dalam Syeksen 27 Akta Polis, denda untuk peserta perhimpunan adalah RM2,000 jika sabit kesalahan manakala di dalam rang undang-undang yang baru diluluskan ini memperuntukkan denda RM20,000 untuk kesalahan yang sama.

3. Saya ingin mempersoalkan kenapakah kerajaan UMNO / Barisan Nasional terlampau gerun dan bimbang menghadapi perhimpunan aman? Sejak bilakah perhimpunan aman mencetuskan masalah jika tidak diprovokasi oleh pihak berkuasa? Selama ini, sebarang perhimpunan aman tidak pernah mencetuskan huru-hara jika pihak polis memberikan kerjasama yang sewajarnya.

4. Di Kelantan, Pergerakan Pemuda UMNO pernah mengadakan perhimpunan di hadapan Kota Darulnaim untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri dalam isu Ladang Rakyat pada 16 Mei 2011 yang lalu. Saya bersama kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri turut hadir dan menyaksikan bagaimana perhimpunan tersebut berjaya dilaksanakan dan memorandum berjaya diserahkan. Cuma, apabila diajak untuk berdebat dalam isu ini, Pergerakan Pemuda UMNO tidak memberikan respon positif. Dalam hal ini, kepimpinan kerajaan negeri Kelantan bersikap terbuka dan tidak mengambil langkah untuk menghalang perhimpunan ini diadakan.

5. Demikian juga himpunan anti murtad (HIMPUN) yang diadakan beberapa minggu lepas juga menyaksikan kerjasama yang cemerlang oleh pihak berkuasa dan ia dapat dilaksanakan dengan jayanya. Justeru, tidak ada sebarang alasan untuk kerajaan menaruh bimbang terhadap perhimpunan aman yang dijamin haknya oleh Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi negara.

6. Saya yakin, tindakan ini akan lebih menyemarakkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat yang menyedari hak mereka sedang dicabul sedikit demi sedikit. Saya ingin mengingatkan bahawa tidak ada sebarang kuasa yang boleh berlindung dari kebangkitan amarah rakyat. Di Mesir, Tunisia, Libya dan beberapa buah negara Arab yang sedang dilanda oleh kebangkitan rakyat telah menyaksikan jatuhnya kuasa-kuasa diktator apabila rakyat terlampau meluat dengan sikap pemimpin yang berlindung di sebalik tembok kuasa.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

HAJI ABDUL LATIFF BIN ABDUL RAHMAN,

Ketua,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK).

Bertarikh : 3 Muharram 1433H bersamaan 29 November 2011M

Kadar Kerosakan Gigi Kanak-Kanak : Utusan Malaysia Manipulasi Fakta

Categorized Under: politik No Commented

utusan1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) kesal dengan laporan Utusan Malaysia pada hari ini (23 November 2011) yang masih terus menerus menyerang kerajaan negeri Kelantan berhubung isu air. Hari ini di muka hadapan akhbar tersebut, dilaporkan bahawa kadar kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak di Kelantan adalah yang tertinggi di Malaysia dan ia dikatakan berpunca dari air yang tercemar dan mengandungi florida yang tidak mencukupi.

2. DPPNK menyifatkan bahawa serangan ini merupakan satu serangan yang terancang di dalam usaha untuk menjatuhkan imej kerajaan negeri Kelantan. Isu air yang mula dilaporkan semenjak hari Ahad, 20 November 2011 telah diletakkan di muka hadapan selama empat hari berturut-turut dan mungkin dikira sebagai isu yang mampu menggugat penguasaan PAS di Kelantan di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

3. Sukalah DPPNK merujuk kepada laporan Utusan Malaysia sendiri di dalam sisipan Kesihatan pada 16 Januari 2011. Laporan tersebut membawa kenyataan Pakar Pergigian dan Ortodontik Kanak-kanak Prof. Dr. Nik Noriah Nik Hussien yang menyatakan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan kerosakan gigi kanak-kanak di Malaysia sememangnya tinggi dengan hanya 25.5 peratus sahaja kanak-kanak yang bebas dari masalah gigi berbanding dengan kadar 50 peratus yang ditetapkan oleh WHO. (Rujuk : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=0116&pg=kn_01.htm&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&y=2011)

4. Persoalannya, adakah logik kadar rendah bebas masalah gigi di Malaysia itu disumbangkan oleh Kelantan sahaja? Jika di Kelantan ia berpunca dari kadar florida yang rendah lalu dikaitkan dengan kelemahan kerajaan negeri membekalkan air yang bersih, bagaimana pula dengan kadar kerosakan gigi kanak-kanak di seluruh Malaysia yang disifatkan rendah oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)?

5. DPPNK mencabar Utusan Malaysia agar menyiarkan kenyataan mana-mana doktor gigi yang bertauliah atau mana-mana kajian ilmiah yang berautoriti untuk mengesahkan bahawa kekurangan fluorida di dalam bekalan air menjadi punca utama kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak khususnya di Kelantan.  Bahkan menjadi satu fakta yang diketahui umum bahawa punca utama kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak bukanlah kerana kekurangan fluorida di dalam bekalan air tetapi kerana makanan yang manis yang mengandungi gula yang tidak dibersihkan.

6. Adalah di luar logik akal jika masalah kekurangan fluorida yang serius di dalam kandungan air terawat di Kelantan tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang membuat pemantauan dari masa ke semasa.

7. DPPNK berpandangan, tindakan Utusan Malaysia yang memanipulasi fakta untuk menjatuhkan imej kerajaan negeri Kelantan ini tidak lain hanyalah untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan yang berlaku di kalangan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Benarlah kata-kata Menteri Besar Kelantan, air Kelantan ingin digunakan untuk membersihkan najis lembu bernilai RM250 juta.

Sekian.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 23 November 2011

Rujukan :

1. http://www.infosihat.gov.my/penyakit/GIG…

2. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp…

Skandal NFC : Kerajaan Perlu Bertanggungjawab

Categorized Under: politik No Commented

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) tertarik untuk memberikan respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti yang tersiar di muka hadapan Berita Harian hari ini 16 November 2011. Di dalam kenyataan tersebut, beliau dilaporkan meminta National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berkaitan projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) yang hangat diperkatakan pada hari ini.

2. DPPNK melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri ini sebagai satu usaha untuk ‘berlepas tangan’ setelah pendedahan yang dibuat ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang menyebut bahawa projek ini berdepan dengan masalah di mana sasaran pengeluaran dikurangkan daripada 60,000 ekor lembu kepada 8,000 ekor lembu.

3. Dalam isu ini, sewajarnya pihak kerajaan bertanggungjawab keseluruhannya kerana syarikat yang terlibat merupakan milik keluarga terdekat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil. Sikap Muhyiddin yang meminta NFC memberikan penjelasan jelas sekali merupakan satu usaha untuk ‘cuci tangan’ dan menafikan hakikat bahawa budaya rasuah dan penyelewengan sudah merupakan satu budaya yang tidak boleh dipisahkan daripada UMNO dan Barisan Nasional. Tidak wujudkah satu persepsi yang kuat bahawa hutang sebanyak RM250 juta yang dianugerahkan kepada NFC itu berasaskan kepada kedudukan istimewa yang dimilki oleh Shahrizat di dalam kerajaan? Tidak sedarkah Muhyiddin bahawa Shahrizat merupakan seorang Menteri yang dipilih sendiri oleh Perdana Menteri untuk menganggotai kabinet sekalipun kalah di dalam pilihanraya umum yang lepas? Apa sahaja skandal yang melibatkan Shahrizat sewajarnya dipikul tanggungjawabnya oleh kerajaan dan bukan hanya meminta penjelasan diberikan oleh NFC semata-mata.

4. DPPNK ingin mengingatkan bahawa skandal NFC ini hanyalah merupakan salah satu kes dari pelbagai kes penyelewengan yang telah berlaku dalam pengurusan kewangan negara. Antaranya skandal PKFZ yang melibatkan RM12 billion, skandal PERWAJA melibatkan RM2.56 billion, skandal Simedarby RM1.6 billion dan pelbagai lagi senarai kerugian yang terpaksa ditanggung akibat salah urus dan penyelewengan oleh kerajaan UMNO / Barisan Nasional. Ini belum mengambil kira ketirisan yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang membentuk jumlah yang dianggarkan mencecah RM28 billion.

5. Justeru, DPPNK menyeru kepada kerajaan Malaysia agar lebih bertanggungjawab dalam isu NFC ini dengan membentangkan kertas putih di Parlimen dan melakukan pendedahan yang lebih telus di samping mengambil tindakan tegas ke atas individu yang terlibat jika terbukti berlakunya penyelewengan. DPPNK yakin banyak lagi fakta yang disembunyikan dari pengetahuan umum yang jika didedahkan akan lebih menjelaskan wajah sebenar UMNO / Barisan Nasional yang begitu buruk di dalam mengurus tadbir kewangan negara.

Sekian.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 16 November 2011

Anakanda yang sedang membesar…. Munib Rayyan

Categorized Under: Foto No Commented

munib2

JMM Ialah Pengecut Yang Sebenar!

Categorized Under: Isu Semasa No Commented

1.       Saya tertarik untuk mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah seperti yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia, muka surat 11 pada hari ini, 23 Mei 2011. Beliau dilaporkan berkata bahawa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sebagai seorang yang bertopeng imej warak kerana sanggup memperalatkan pelajar sekolah agama di Kelantan untuk menghadiri program politik.

2.       Program yang dimaksudkan oleh Azwanddin itu ialah program Munajat Anak Muda Kelantan yang berlangsung di Padang Perdana, Kota Bharu pada 20 Mei 2011 yang lepas yang menyaksikan belasan ribu hadirin membanjiri Padang Perdana untuk program khatam al-Quran dan solat hajat.

3.       Azwanddin jelas sekali keliru apabila menyatakan bahawa pelajar-pelajar yang hadir diperalatkan. Hakikatnya, mereka hadir dengan kerelaan diri sendiri dan tanpa sebarang paksaan. Tentunya sebagai sebuah negara demokrasi, pelajar-pelajar tidak dihalang untuk menghadiri program sedemikian yang tentunya lebih baik daripada program konsert hiburan yang dibenarkan oleh UMNO / Barisan Nasional. Bahkan tindakan menyiarkan bahan lucah di dalam media eletronik dan cetak jauh lebih bahaya terhadap akhlak muda mudi dan ini langsung tidak ditegur oleh JMM.

4.       Perlu diingatkan bahawa tidak menjadi amalan kerajaan negeri Kelantan memaksa pelajar-pelajar atau guru-guru datang ke program politik seperti yang diamalkan oleh UMNO. Berlainan dengan UMNO yang hanya berani menggunakan kuasa paksaan bagi meramaikan program mereka. Contoh jelas antaranya ialah apabila UMNO memaksa semua guru-guru di Merlimau hadir dalam program kempen pilihanraya kecil DUN Merlimau pada 14 Februari 2011 yang lepas. Surat arahan tersebut dilampirkan bersama untuk rujukan. Demikian juga apabila guru-guru dipaksa untuk mendengar taklimat keselamatan yang antaranya diisi dengan ceramah yang memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat.

5.       Jika JMM menyatakan Menteri Besar Kelantan sebagai pengecut kerana hanya berani berpidato di hadapan pelajar sekolah, maka JMM lebih pengecut apabila tidak berani untuk berdebat ekoran kenyataan seorang pemimpinnya yang menyamakan Menteri Besar Kelantan dengan Ayah Pin satu masa dahulu. Antara pihak yang mencabar debat dengan JMM ialah Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan. JMM perlu diingatkan bahawa berani berkokok di dalam akhbar sahaja tanpa berdepan dengan hujah adalah sebesar-besar sifat pengecut dan sifat ini ada pada pimpinan JMM.

6.       Hakikatnya, UMNO dan Barisan Nasional gerun dengan kehadiran begitu ramai anak muda di dalam program tersebut. Bahkan jika UMNO dan Barisan Nasional dengan segala kekuatan jentera yang ada berusaha untuk mengadakan himpunan seperti itu, ia tidak akan berjaya. Ini kerana budaya ‘upah dan suap’ yang sudah sebati dalam darah daging perjuangan mereka. JMM hanyalah merupakan ‘budak suruhan’ kepada UMNO dan hanya akan bercakap untuk kepentingan politik UMNO dan Barisan Nasional.

Sekian.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 23 Mei 2011 / 19 Jamadil Akhir 1432

Himpunan Mutiara Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz 2011

Categorized Under: Foto, Minda Tuan Guru No Commented